fbpx

Cart

Seiring dengan peredaran zaman ke era teknologi moden, pilihan kelas tambahan untuk anak-anak juga sudah berbeza berbanding kurun sebelum ini. Ibu bapa mula mempertimbangkan kelas-kelas berunsurkan ICT (Information and Communication Technology) khususnya kelas pemrograman atau coding. Memperkenalkan anak-anak kepada program sebegini dapat meningkatkan pengetahuan dan minat mereka untuk mengeksplorasi dunia digital di sebalik skrin. Di sini, kami berikan sedikit tips untuk memilih kelas coding yang sesuai untuk kanak-kanak khususnya di peringkat sekolah rendah.

1. Menyeronokkan dan interaktif.

Pilihlah kelas yang menawarkan pembelajaran luar buku dan mengujakan untuk kanak-kanak. Kelas-kelas sebegini biasanya menggabungkan permainan video, aktiviti praktikal, kuiz, dan cabaran untuk membuat pembelajaran lebih kasual dan menyeronokkan.

Gambar: Kelas yang menggabungkan pembelajaran interaktif dan praktikal dapat meningkatkan fokus dan keseronokan belajar program coding.

2. Kelayakan guru

Pastikan anda memeriksa kelayakan tenaga pengajar sama ada mereka berpengalaman dan berpengetahuan dalam mengajar kanak-kanak. Kelas coding untuk pelajar yang lebih muda memerlukan guru yang sabar, mesra dan berkebolehan dalam menerangkan konsep coding dalam bahasa dan cara yang mudah difahami.

Gambar: Guru yang berpengalaman dalam pendidikan kanak-kanak lebih mahir mengendalikan emosi dan mental pelajarnya yang masih dalam proses berkembang.

3. Bahan pembelajaran sesuai dengan usia.

Pastikan kelas coding yang dipilih menyediakan kaedah dan bahan pembelajaran yang sesuai untuk usia anak anda. Kelas coding untuk kanak-kanak sepatutnya lebih menarik, interaktif dan mengutamakan konsep asas dengan cara yang mudah dan menyeronokkan.

Gambar: Pelajar yang lebih muda mungkin memerlukan rangsangan yang lebih berwarna-warni dan menghiburkan seperti video informatif dengan karakter kartun atau buku bergambar dengan teks yang minima.

4. Aktiviti hands-on

Meskipun coding secara umumnya melibatkan perisian komputer, ini tidak bermakna pembelajarannya hanya tertumpu di skrin sahaja. Pilihlah kelas yang turut menggabungkan aktiviti hands-on dalam mempraktikkan konsep asas coding seperti menyusun blok mengikut pola yang diberi, membuat sandwich menggunakan konsep pengulangan dan penyesuaian (loop and conditioning) serta banyak lagi aktiviti sama ada secara individu atau berkumpulan.

Gambar: Aktiviti hands-on coding atau dikenali sebagai unplugged coding mengetengahkan konsep computational thinking seperti penguraian maklumat, suai padan pola, pengabstrakan, dan automasi.

5. Jadual fleksibel

Ambil kira jadual dan durasi untuk satu-satu kelas dan kekerapannya sama ada harian, mingguan atau bulanan. Pilihlah kelas yang bersesuaian dengan jadual anak anda dan cukup terbuka untuk sebarang perubahan dalam situasi-situasi tidak terduga.

Gambar: Pastikan institusi pilihan anda membenarkan pertukaran atau penggantian kelas sekiranya anak anda gagal hadir disebabkan sakit, bercuti, dan sebagainya.

Secara keseluruhannya, faktor paling penting dalam memilih kelas coding untuk kanak-kanak ialah memastikan kelas tersebut menggunakan kaedah yang menyeronokkan dan bersesuaian dengan usia anak anda. Kelas coding yang dapat memenuhi kriteria ini mampu membantu anak anda untuk menyuburkan minat di peringkat awal dan menyokong kemajuan mereka pada masa akan datang.

Leave a Reply