Subjek matematik merupakan antara subjek asas yang penting dan perlu dikuasai seawal sekolah rendah. Namun, atas faktor ini, para guru dan pelajar mendapat lebih tekanan dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Lebih buruk, tekanan ini boleh bertukar menjadi ketakutan yang membunuh keseronokan belajar dan seterusnya membuatkan pelajar mula membenci subjek ini.
Sebelum itu terjadi, di sini kami senaraikan beberapa tips untuk mengatasi ketakutan pelajar terhadap subjek matematik. Antaranya;
1. Kenal pasti punca
Pertama sekali, kenal pasti mengapa dan sejak bila ketakutan kepada subjek matematik ini terjadi. Ketakutan untuk mempelajari sesuatu subjek selalunya berpunca daripada pengalaman negatif seperti kesusahan memahami konsep matematik, didenda atau dimarahi guru, sering mendapat keputusan yang tidak memberangsangkan atau desakan yang keterlaluan daripada keluarga.
Mengenal pasti punca kepada ketakutan ini penting bagi merawat masalah dan memberi sokongan kepada pelajar, seterusnya mengatasi rasa takut mereka kepada matematik.
2. Beri sokongan dan galakan
Ahli keluarga khususnya ibu bapa juga perlu memainkan peranan dengan memberi sokongan dan galakan kepada anak-anak. Wujudkan satu suasana pembelajaran yang positif di mana anak-anak bebas bertanya soalan, membuat kesilapan dan meminta bantuan tatkala memerlukan. Galakkan anak-anak untuk meluahkan kebimbangan atau segala pandangan mereka tentang subjek matematik dan beri maklum balas positif.
Sokongan seperti ini dapat mengurangkan tekanan anak-anak serta membuatkan mereka lebih yakin dan positif untuk berdepan dengan cabaran sukar seperti matematik.
3. Beri ganjaran
Nampakkan usaha gigih anak-anak membuahkan hasil yang berbaloi dengan memberi ganjaran dan pujian kepada mereka. Mungkin anak-anak kecil tidak dapat melihat lagi impak hasil usaha mereka pada masa hadapan, jadi ibu bapa dan guru boleh memberi sedikit ganjaran seperti hadiah atau layanan istimewa bagi meningkatkan motivasi mereka.
4. Pecahkan topik kompleks
Tidak dapat dinafikan kesukaran untuk memahami sesuatu konsep matematik merupakan peneraju utama yang memberi tekanan dan rasa cemas kepada anak-anak. Kenal pasti topik-topik ini dan cuba pecahkannya kepada beberapa bahagian kecil untuk difahami dan dikuasai satu persatu. Kukuhkan pengetahuan asas yang menjadi blok-blok binaan untuk pemahaman konsep yang lebih kompleks.
5. Tingkatkan keseronokan belajar
Cubalah pelbagai alternatif bagi membuatkan pembelajaran matematik lebih menarik dan menyeronokkan. Gunakan alat permainan, teka-teki, kad imbas serta kaitkan dengan dunia sebenar bagi menambah variasi kepada pembelajaran dan tidak sekadar dalam buku dan kelas sahaja.
6. Kelas tambahan
Sebahagian anak-anak yang mengalami kesukaran untuk memahami konsep matematik mungkin memerlukan lebih latihan dan perhatian. Ambil kira keperluan kelas tambahan untuk membantu mengukuhkan pengetahuan asas mereka.
Selain itu, kelas matematik tambahan juga dapat memberi lebih fokus kepada anak-anak kerana kumpulannya lebih kecil malah anda juga boleh memilih kelas peribadi untuk pembelajaran yang lebih khusus.
Kesimpulannya, mengatasi ketakutan dan tekanan anak-anak penting bagi mewujudkan persepsi positif mereka kepada subjek matematik. Ingatlah, membantu anak-anak ini mengatasi ketakutan mereka memerlukan masa dan kesabaran.