fbpx

Cart

Setiap kali musim cuti persekolahan tiba, ibu bapa pasti pening untuk mencari aktiviti bagi mengisi masa terluang anak-anak. Kalau dibiarkan, risau pula anak-anak menghadap televisyen atau permainan video sepanjang hari selama cuti sekolah. Jadi, apa kata ibu bapa manfaatkan cuti anak-anak dengan mendaftarkan mereka dalam program atau kelas tambahan cuti sekolah. Program-program ini boleh memberi banyak manfaat, antaranya;

1. Pengetahuan Khusus

Kebanyakan kelas tambahan cuti sekolah menawarkan aktiviti-aktiviti pendidikan yang membantu anak-anak mempelajari kemahiran dan pengetahuan khusus tambahan yang tidak ditawarkan di sekolah harian biasa. Contohnya, bengkel asas komputer, bengkel robotik, seni lukis, dan banyak lagi.

Kelas komputer merupakan antara program bermanfaat untuk anak-anak yang tidak terdapat dalam kurikulum biasa sekolah.

2. Membina hubungan sosial.

Program dan kelas tambahan cuti sekolah juga dapat memperkenalkan anak-anak kepada persekitaran yang berbeza sekaligus memberi peluang untuk mereka bersosial dengan rakan-rakan baru. Aktiviti bersosial ini sebenarnya penting untuk meningkatkan kemahiran komunikasi di samping memupuk kepercayaan dan nilai empati anak-anak. Tambahan, anak-anak yang datang dari keluarga kecil atau terasing dari rakan-rakan sebaya mereka memerlukan lebih banyak aktiviti berkumpulan untuk perkembangan sosial dan emosi mereka.

Perkenalkan anak-anak dengan persekitaran dan rakan-rakan baru untuk meningkatkan kemahiran sosial mereka.

3. Kecerdasan fizikal.

Sebahagian program dan kelas tambahan cuti sekolah yang menumpukan aktiviti fizikal seperti sukan dan permainan juga dapat memastikan anak-anak kekal aktif dan cerdas sepanjang musim cuti. Program seperti sukan memanah, menunggang kuda, berkhemah dan seumpamanya bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat meningkatkan kemahiran motor anak-anak anda.

Anak-anak perlu kekal aktif walaupun dalam masa cuti sekolah bagi memenuhi keperluan fizikal dan tenaga mereka yang sentiasa di paras maksima!

4. Kelangsungan rutin.

Pada kebiasaannya, anak-anak sudah terlatih untuk mengikuti jadual harian mereka seperti bangun tidur, mandi dan bersarapan pada waktu pagi sewaktu musim persekolahan. Jika rutin ini dibiarkan berubah secara drastik sewaktu musim cuti sekolah, anak-anak mungkin mengalami masalah untuk menyesuaikan diri dengan jadual baru, atau lebih teruk lagi, mereka cepat berasa bosan dengan rutin cuti sekolah yang longgar tanpa pengisian aktiviti. Jadi, ibu bapa boleh meneruskan sebahagian rutin mereka dengan meyusun program-program tertentu dalam jadual harian mereka.

Jangan biarkan cuti sekolah menjadi alasan untuk anak-anak meninggalkan jadual dan kurang berdisiplin. Tenaga mereka terlalu banyak untuk dibiarkan bermalas-malasan sepanjang hari!

4. Pengalaman baru

Program-program cuti sekolah juga dapat memberi pengalaman baru kepada anak-anak khususnya dalam bidang yang tidak pernah atau kurang diceburi sebelum ini. Ibu bapa boleh memperkenalkan anak-anak dengan kelas seni dan kraf, muzik, budaya dan keagamaan, atau apa sahaja program yang menyeronokkan. Pengalaman-pengalaman baru ini bukan sahaja dapat meluaskan pengetahuan anak-anak, malah dapat membuatkan musim cuti mereka lebih bermakna.

Program perkhemahan melatih pelbagai kemahiran baru selain memberi pengalaman bermakna untuk anak-anak.

Kesimpulannya, program dan kelas tambahan cuti sekolah memberi banyak kelebihan kepada anak-anak seperti peluang bersosial, mempelajari pengetahuan dan kemahiran baru, melangsungkan rutin dengan aktiviti-aktiviti bermanfaat dan menyihatkan, dan banyak lagi. Ibu bapa perlu sedar bahawa anak-anak kita bukan memerlukan hiburan dan rehat sepanjang hari, tetapi aktiviti yang menyeronokkan dan tentu sekali, penglibatan ibu bapa itu sendiri

Leave a Reply