Seni digital merupakan satu teknik terbaru dalam mengekspresikan karya seni dalam era teknologi terkini. Sebenarnya, seni digital ini tidak jauh berbeza dengan seni tradisional yang menggunakan media kertas dan alatan mewarna. Bezanya, seni digital mentransformasikan semua alatan ini dalam bentuk digital dan perisiannya memerlukan gadget seperti tablet atau komputer. Selain itu, menggunakan aplikasi digital untuk menghasilkan karya seni juga mempunyai manfaat lain terutamanya meningkatkan kreativiti kanak-kanak dalam cara-cara yang berikut;
1. Sumber tanpa batas
Seni digital menyediakan ruang kreativiti yang luas untuk kanak-kanak mencuba dan bereksperimen dengan pelbagai teknik, warna dan gaya. Pilih saja teknik warna air, cat minyak, pensel warna atau apa sahaja medium teknikal yang ada, semuanya boleh digunakan dalam versi digital. Menariknya, semua sumber dan peralatan ini takkan pernah habis, luput atau rosak seperti versi fizikal asalnya.
Gambar: Aplikasi digital dilengkapi dengan puluhan hingga ratusan peralatan yang menyerupai alatan seni lukis sebenar.
2. Serba boleh
Seni digital juga membenarkan segala jenis adaptasi yang mungkin mustahil atau sukar dalam seni tradisional. Sebagai contoh, pengguna boleh mengawal saiz dan kelancaran dakwat pen, menggunakan gambar kulit manusia untuk dijadikan cop tekstur, dan menggunakan algoritma matematik untuk melukiskan garisan dan bentuk yang sempurna. Tidak terhad kepada peralatan yang terdapat dalam aplikasi melukis itu sahaja, kanak-kanak juga boleh meluaskan kreativiti mereka dengan menggabungkan karya digital dengan sebarang muzik, video dan animasi dengan mudah.
Gambar: Seni digital membenarkan pengguna untuk mengaplikasikan kesan khas seperti 3D dengan hanya satu klik.
3.Ruang penambahbaikan
Kreativiti mungkin mengambil banyak usaha dan percubaan untuk berjaya. Proses ini memerlukan banyak kesabaran dan kesungguhan, apatah lagi untuk bermula semula daripada kanvas yang kosong. Namun, dengan seni digital, kanak-kanak tidak perlu takut untuk membuat kesilapan atau bertukar idea di pertengahan jalan, kerana media ini menawarkan pelbagai solusi mudah. Antaranya, mereka boleh menekan butang ‘undur semula’ sekiranya tersalah atau ingin menukar langkah, atau memadam sebahagian lukisan tanpa menjejaskan bahagian lainnya.
Gambar: Secara tradisionalnya, jika tersilap langkah, salah memilih warna atau terlukis di tempat yang tidak sepatutnya, lukisan perlu dibaiki atau lebih teruk, dibuang. Hal ini boleh menjejaskan emosi dan motivasi kanak-kanak untuk meneruskan minat dalam karya seni.
4. Efisien
Salah satu kelebihan seni digital adalah keberkesanannya dalam menjimatkan masa dan tenaga berbanding seni tradisional. Bayangkan, proses mewarna secara manual yang boleh memakan masa berminggu-minggu hanya mengambil masa selama beberapa minit dalam aplikasi digital. Kelebihan ini memberi peluang untuk si cilik berkarya tanpa perlu merisaukan pembaziran masa dan wang ringgit.
Gambar: Proses mewarna hanya memerlukan satu klik sahaja.
5. Kolaborasi
Berkarya dalam aplikasi digital membolehkan kanak-kanak berkolaborasi dengan rakan-rakan atau mendapat tunjuk ajar secara langsung daripada artis-artis profesional di alam maya. Kelebihan ini memberi peluang untuk anak-anak bertukar idea dan pendapat, selain berkongsi inspirasi untuk mencipta sesebuah karya kreatif. Lagi pula, anak-anak yang baru ingin menceburi minda ini pasti memerlukan sokongan dan bantuan daripada kumpulan artis yang sudah lama bergiat aktif di dalam industri.
Gambar: Aplikasi seni digital membenarkan perkongsian terus karya yang masih dalam proses untuk mendapat maklum balas. Karya digital ini boleh dikirim menerusi email atau platform perkongsian dalam talian untuk disunting atau disambung pengguna lain.
Kesimpulannya, seni digital merupakan satu media yang cukup berkuasa untuk mengembangkan kreativiti kanak-kanak, dengan kebolehannya untuk menyediakan ratusan peralatan dan warna yang tiada had, versatil, cukup pemaaf untuk menggalakkan ruang penambahbaikan, cekap dan juga menghubungkan sesama pengkarya seni. Kanak-kanak boleh menggunakan seni digital untuk meneroka idea baru dan melangkau batas kreativiti mereka.