fbpx

Cart

Latih tubi atau lembaran kerja matematik merupakan salah satu kaedah tradisional dalam pembelajaran subjek tersebut yang telah digunakan sejak berkurun lamanya. Kebiasaannya, pelajar akan dibekalkan dengan lembaran kerja yang dicetak di atas kertas ataupun buku latihan untuk disiapkan dalam tempoh masa yang ditetapkan. Soalan yang diberikan dalam satu-satu topik pula tidak jauh berbeza kerana fungsi utamanya adalah untuk melatih dan meningkatkan kelancaran proses pengiraan. 

Dari sudut pandang positif, latihan memang diperlukan bagi meningkatkan kemahiran matematik. Latihan yang banyak boleh membantu pelajar menyelesaikan masalah dengan lebih lancar dan seterusnya membentuk automasi dalam proses pengiraan. Apabila otak manusia dilatih untuk menyelesaikan masalah yang sama berulang kali, ia akan menyimpan jawapannya sebagai memori sekaligus membantu kita untuk mengira dengan lebih pantas. Selain itu, lembaran kerja ini juga dapat membantu pendidik untuk membuat semakan bagi menilai tahap pemahaman dan kemahiran pelajar.

Namun begitu, penggunaan lembaran kerja yang berlebihan sebagai satu-satunya kaedah pembelajaran matematik tidaklah digalakkan terutamanya untuk pelajar yang masih kecil. Hal ini kerana, latih tubi yang banyak sekalipun tidak dapat membantu sekiranya pelajar masih gagal memahami sesuatu konsep matematik. Selain itu, pelajar juga boleh menjadi tertekan dan bosan berhadapan dengan latih tubi yang berulang-ulang dan tiada berkesudahan.

Justeru, kaedah terbaik untuk mempelajari matematik adalah dengan menyeimbangkan penggunaan lembaran kerja dengan aktiviti-aktiviti lain seperti perbincangan berkumpulan, projek penyelesaian masalah, permainan interaktif dan juga pengaplikasian dalam dunia sebenar. Lembaran kerja matematik juga sepatutnya digubal bagi memfokuskan daya fikir kritikal dan strategi penyelesaian masalah, bukan semata-mata untuk melatih otak menghafal proses kira-kira.

Penting untuk diingat bahawa setiap pelajar mempunyai kebolehan dan gaya pembelajaran yang berbeza. Lambakan latih tubi matematik yang terlalu sukar atau berulang-ulang pada satu-satu masa boleh membuat pelajar berasa penat atau kecewa kerana tidak dapat menyelesaikan masalah dengan betul. Hal ini mampu mengurangkan motivasi dan minat mereka dalam mempelajari matematik.

Kesimpulannya, mempelajari matematik melalui lembaran kerja mampu memberi tekanan sekiranya digunakan secara keterlaluan dan melebihi kemampuan pelajar. Pembelajaran matematik yang efektif sepatutnya melibatkan kaedah yang dapat mendidik kefahaman, mencabar daya fikir kritikal dan penyelesaian masalah, pengaplikasian dalam dunia sebenar, dan yang paling penting menyeronokkan.

Leave a Reply