Pusat perkembangan minda menawarkan pelbagai program yang mampu meningkatkan perkembangan minda dan kemahiran anak-anak serta membantu mereka menjadi individu yang bersedia untuk menghadapi cabaran masa depan. Berbeza dengan kelas tuisyen atau kelas tambahan yang memberi fokus kepada bidang akademik, program yang ditawarkan pusat perkembangan minda lebih menyeluruh dan bervariasi. Di sini, kami ada menyenaraikan kriteria-kriteria yang boleh anda rujuk bagi memilih pusat perkembangan minda yang terbaik untuk anak-anak, iaitu
1. Program yang Dikenakan
Carilah pusat perkembangan minda yang menawarkan program-program yang selaras dengan minat dan keperluan anak-anak anda. Sebahagian pusat perkembangan minda hanya memberi fokus kepada perkembangan akademik manakala sebahagian yang lain ada menawarkan program seni, teknologi, atau sukan. Ambil kira juga program-program yang boleh memberi manfaat kepada anak-anak anda.
2. Tenaga Pengajar Berkalayakan
Pastikan pusat perkembangan minda yang anda pilih mempunyai tenaga pengajar yang berpengalaman dan berkelayakan dalam bidang masing-masing bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran lebih berkesan dan menarik.
3. Saiz dan Struktur Kelas
Periksa juga saiz sesebuah kelas yang ditawarkan pusat perkembangan minda berkenaan. Saiz yang dimaksudkan disini ialah nisbah pelajar dengan gurunya. Sudah pasti, jumlah pelajar yang lebih kecil adalah lebih baik untuk memastikan setiap pelajar mendapat perhatian yang secukupnya seterusnya menjamin pembelajaran yang berkualiti. Anda juga perlu mengambil kira kekerapan dan tempoh masa yang diambil bagi setiap kelas untuk disesuaikan dengan jadual dan keperluan anak anda.
4. Keselamatan
Sesebuah pusat perkembangan minda seharusnya mempunyai sistem keselamatan yang lengkap bagi memastikan keselamatan setiap pelajar terjamin. Anda boleh bertanya tentang polisi perlindungan pelajar serta prosedur dan bantuan kecemasan kepada pusat perkembangan minda berkenaan untuk mengetahui dengan lebih lanjut. Selain itu, keselamatan kawasan sekitar juga penting untuk diambil kira seperti kes jenayah, laluan trafik dan lain-lain.
5. Lokasi
Lokasi bagi pusat perkembangan minda juga sangat penting bagi memudahkan perjalanan menghantar dan mengambil anak anda. Anda pasti tidak mahu menghabiskan masa yang lama dalam perjalanan atau tersangkut dalam trafik yang sesak. Carilah lokasi yang berdekatan dengan rumah atau pejabat anda. Bonus untuk anda sekiranya pusat perkembangan minda berkenaan ada menyediakan servis pengangkutan untuk pelajar.
6. Saranan dan Maklumbalas
Akhir sekali, anda juga boleh mendapatkan saranan dan maklum balas daripada ibu bapa lain dalam forum atas talian bagi mengetahui kualiti dan reputasi sesebuah pusat perkembangan minda. Sekiranya maklumat dalam carian tidak menyakinkan atau mencurigakan, anda juga boleh turun padang dan meninjau lokasi sendiri bagi bertemu dengan ibu bapa lain dan komuniti sekitar untuk mendapatkan maklum balas mereka.
Kesimpulannya, memilih pusat perkembangan minda yang bersesuaian dengan anak anda mungkin tugas yang leceh. Namun, hasilnya pasti berbaloi sekiranya anda meletakkan usaha dan kebijaksanaan anda untuk memilih yang terbaik untuk anak-anak anda.