Sebahagian individu merasakan matematik sebagai satu subjek yang sukar disebabkan strukturnya yang abstrak, formula yang kompleks dan bahagian penyelesaian masalah yang memerlukan pemikiran logik. Satu-satunya cara bagi mengatasi kesukaran subjek adalah dengan memahami konsep asas matematik.
Di sini, kami kupaskan dengan lebih lanjut mengapa pemahaman konsep matematik sangat penting dari sudut praktikal dan intelektual;
1. Meningkatkan kemahiran penyelesaian masalah
Penguasaan konsep matematik membantu anda untuk memecahkan soalan kompleks menjadi lebih kecil dan mudah dengan melatih anda untuk mengenal pasti kunci masalah, menganalisa data, mengasingkan data-data penting daripada sumber, dan mencari penyelesaian terbaik bagi masalah yang telah dikenal pasti.
Setiap kemahiran ini boleh diguna pakai bukan sahaja dalam menyelesaikan permasalahan matematik itu sendiri, malah dalam semua aspek kehidupan yang memerlukan pemikiran logik.
2. Menambah baik kemahiran kira-kira
Sedar atau tidak, pekerjaan dan kehidupan kita seharian melibatkan banyak proses kira-kira. Daripada memilih saiz beg yang bersesuaian dengan isipadu barang, meramal tempoh perjalanan dalam had laju tertentu, kepada sekecil-kecil perkara seperti mengira jumlah sudu gula tambahan dalam cawan yang berganda besarnya. Lebih kompleks dan penting fungsi yang ingin diaplikasikan, lebih kompleks konsep matematik yang perlu digunakan.
3. Mengembangkan kemahiran berfikir secara kritikal
Konsep matematik mendidik anda untuk mempersoalkan ketidakpastian atau andaian, menilai kesahihan fakta, dan membuat kesimpulan logik. Dengan kata lain, penguasaan konsep matematik dapat mengembangkan kemahiran berfikir secara kritikal yang membantu anda membuat keputusan dengan lebih tepat dan cepat.
4. Membantu perkembangan intelektual
Mempelajari konsep matematik sama ada konsep asas yang ringkas atau yang lebih kompleks boleh menjana daya intelektual dan seterusnya memberi kepuasan diri. Selain itu, ia juga membantu dalam mempertingkatkan lagi rasa ingin tahu, kreativiti, dan rasa suka pada pembelajaran.
5. Peluang kerjaya
Terdapat banyak kerjaya utama yang memerlukan penguasaan konsep matematik seperti kerjaya dalam bidang kejuruteraan, sains komputer, analisis data, kewangan dan perakaunan. Justeru, penguasaan konsep matematik dapat membuka banyak peluang kerjaya.
Secara kesimpulannya, penguasaan konsep matematik bukan sahaja penting bagi pembelajaran subjek itu sendiri, malah memberi banyak manfaat kepada diri individu seperti meningkatkan kemahiran intelektual, penyelesaian masalah, daya fikir kritikal dan juga meluaskan peluang kerjaya pada masa hadapan.