fbpx

Cart

Dalam zaman serba moden sekarang, kita dapat lihat banyak aplikasi digital sudah mengambil alih media pembelajaran anak-anak seperti buku bacaan, alat bantu mengajar dan latihan praktikal. Malah, bidang seni visual yang umumnya memerlukan segala jenis bahan dan peralatan juga kini boleh didapati di dalam aplikasi digital. Pendigitalan kandungan seni visual sememangnya sangat bagus dari segi fungsinya yang automatik, mengelakkan pembaziran bahan, menjimatkan ruang penyimpanan dan banyak lagi. Namun, adakah ‘OK’ untuk anak-anak kecil belajar melukis dan mewarna menggunakan gadget?

Sebelum anda memutuskan untuk mengatakan ‘OK’ atau sebaliknya, jom baca senarai semak yang perlu diambil kira jika anda ingin membenarkan anak-anak kecil anda menggunakan gadget bagi belajar melukis;

1. Kesesuaian Umur

Anak-anak kecil khususnya yang masih bersekolah tadika atau lebih muda mempunyai tahap pemikiran, emosi dan fizikal yang belum cukup berkembang untuk menggunakan gadget secara efektif dan selamat dalam satu jangka masa yang lama. Mereka mungkin akan mudah marah dan kecewa sekiranya gagal menekan atau menggerakkan sesuatu hingga bertindak di luar kawalan. Jadi jika anda ingin memperkenalkan aplikasi melukis atau mewarna kepada anak-anak dalam usia ini, pastikan anda atau pasangan anda ada bersama bagi mengawasi dan membantu memperkenalkan sebahagian fungsi yang tidak dikenali mereka. Jadikan aktiviti melukis menyeronokkan dengan melukis secara bergilir-gilir, atau mencuba pelbagai kombinasi warna mengikut kesesuaian usia mereka.

2. Aplikasi Mesra Kanak-kanak

Kini, terdapat banyak aplikasi digital bagi mempelajari seni lukis yang ditawarkan di pasaran. Ibu bapa perlu berhati-hati dalam memilih aplikasi yang bersesuaian dengan usia anak-anak dan setanding dengan kemahiran mereka. Pilihlah aplikasi seni digital yang lebih ringkas dan mesra kanak-kanak prasekolah seperti Crayola Create and Play dan Drawing Games to Learning Kids. Aplikasi sebegini mempunyai butang yang besar dan ringkas dengan peralatan yang minima bagi mengurangkan kecelaruan dan memberi anak-anak kecil peluang untuk fokus. 

3. Libatkan Aktiviti Hands-On

Meskipun pembelajaran melalui gadget juga dikira sebagai hands-on kerana melibatkan penggunaan pen dan gerakan tangan (hand-gestures), pembelajaran seni lukis memerlukan deria yang lebih sensitif seperti deria sentuh. Anak-anak kecil perlu didedahkan dengan pelbagai jenis tekstur warna dan bahan yang sebenar sebelum mengaplikasikannya di dalam seni digital. Meskipun peralatan seperti cat air dan krayon juga terdapat dalam aplikasi digital, anak-anak tidak dapat merasakan tekstur sebenarnya di atas skrin. Jadi, seeloknya, berilah pendedahan kepada media melukis dan mewarna yang sebenar dahulu sebelum atau seiring dengan pembelajaran secara digital

4. Limitasi Tempoh Skrin

Akademi Pediatrik Amerika (AAP) mengesyorkan tempoh skrin bagi kanak-kanak berusia dalam lingkungan 2 hingga 5 tahun hanya 1 jam sehari untuk kandungan pendidikan yang berkualiti dan sepatutnya diawasi oleh orang dewasa. Jadi anda boleh saja membenarkan anak-anak menggunakan gadget untuk belajar melukis asalkan tidak melebihi satu jam. Anda juga boleh menjadikan pembelajarannya lebih efisyen dan berkualiti dengan belajar dan berinteraksi bersama-sama dengannya.

Make a difference in the world through a STEM education by connecting with mother nature in Outdoor Adventure

5.Risiko

Ibu bapa perlu sedar penggunaan gadget yang berpanjangan tanpa pengawasan tak kira untuk aktiviti pendidikan atau sebaliknya boleh mengundang risiko lebih-lebih lagi kepada anak-anak kecil. Antara risiko yang boleh mengancam pengguna gadget yang masih kecil ini ialah pendedahan kepada kandungan yang negatif, pembocoran maklumat peribadi, malah kesihatan mata dan kecerdasan badan juga boleh terjejas. Ibu bapa atau penjaga boleh mengatasi risiko-risiko ini dengan menghadkan penggunaan gadget dalam tempoh waktu tertentu dan menggalakkan aktiviti-aktiviti fizikal yang lain bagi menjaga keseimbangan minda dan fizikal anak-anak.

 

Secara kesimpulannya, menentukan sama ada ‘OK’ atau tidak bagi anak-anak kecil belajar melukis menggunakan gadget terpulang kepada beberapa faktor seperti usia, tahap perkembangan minda dan emosi anak, keperluan dan kehendaknya, jenis aplikasi dan kandungannya, dan akhir sekali tempoh penggunaan gadget itu sendiri. Tak kira untuk kegunaan pendidikan atau sekadar hiburan pendek, pastikan ibu bapa dan penjaga meluangkan masa untuk memantau dan berinteraksi dengan anak-anak supaya mereka tidak diancam dengan risiko gadget yang boleh mengancam keselamatan dan kesejahteraan mereka. 

Leave a Reply