fbpx

Cart

Ibu bapa yang cakna dengan trend teknologi terkini pasti tahu potensi bidang coding dan robotik yang semakin meningkat. Justeru, sebahagian besar ibu bapa mula memasukkan anak-anak mereka ke dalam kelas coding dan robotik yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Pada masa yang sama, sebahagian ibu bapa yang lain pula berpendapat bahawa minat anak-anak perlu dipupuk terlebih dahulu supaya mereka lebih bermotivasi untuk mendalami bidang tersebut tanpa sebarang paksaan atau tekanan.

Sebenarnya, ibu bapa tidak perlu khuatir kerana kemahiran penting yang diperlukan dalam bidang ini seperti penyelesaian masalah, pemikiran kritikal dan pemikiran berkomputer sudah terkandung dalam aktiviti seharian anak-anak dimulai rutin bangun tidur hingga kembali menutup mata. Peranan ibu bapa hanyalah menggalakkan anak-anak untuk menggunakan fungsi minda mereka secara optimum dan mengusulkan aktiviti-aktiviti yang boleh merangsang minat mereka untuk mendalami bidang coding dan robotik. Di sini, kami cadangkan beberapa aktiviti menyeronokkan sebagai sumber inspirasi; 

1.Membina robot barang terpakai

Bina kreativiti anak-anak dengan membina robot menggunakan kotak-kotak terpakai. Mereka tentu lebih seronok sekiranya anda boleh mendapatkan mereka kotak-kotak lebih besar yang dapat memuatkan mereka di dalamnya. Terapkan juga pengetahuan-pengetahuan berguna seperti bahan-bahan yang lebih sesuai dan tahan lama serta fungsi setiap komponen supaya mereka dapat menghubungkan aktiviti ini dengan pembinaan robot sebenar. Anda juga boleh melibatkan kemahiran asas coding ke dalam aktiviti ini dengan meminta anak-anak membuat arahan bertulis bagi menggerakkan robot ke satu tempat yang khusus. Contohnya, ‘gerak ke kanan 5 langkah’, ‘gerak ke depan 3 langkah’ dan sebagainya.

Sesuaikan tahap kesukaran aktiviti ini mengikut kemahiran dan usia anak-anak dengan mempelbagaikan jenis bahan, jenis rekaan robot, tambahan komponen berfungsi seperti bateri, lampu LED, kaset suara, serta fungsi robot.

2.Bermain dan mereka taman permainan

Tahukah anda bahawa bermain papan permainan atau ‘board game’ mampu memberi banyak pengetahuan yang berkaitan dengan pemikiran berkomputer seperti penguraian dan pemilihan maklumat, pengenal pastian pola atau corak, serta membuat penyusunan atau pengubahsuaian proses dalam mencapai matlamat. Semua ini mungkin seperti kompleks dan sukar, namun sebenarnya kita terlalu seronok dan fokus bermain hingga tidak sedar minda kita digunakan secara aktif. Selain itu, anda juga boleh mengaplikasikan pengetahuan dan menguji kefahaman anak-anak dengan mereka papan permainan mereka sendiri dengan menggunakan konsep yang sama. 

Pasti anak-anak akan berasa seronok dan teruja menggunakan kreativiti dan imaginasi mereka dalam merangka matlamat permainan, mencipta karakter dan latar belakangnya serta membina pelbagai halangan.

3.Membuat sandwic kacang

Sebenarnya konsep ini tidak terhad kepada sandwic kacang, malah anda boleh gunakan apa sahaja resepi atau proses rutin yang biasa anak-anak anda lakukan, contohnya langkah memberus gigi atau memakai baju. Caranya, minta anak-anak anda untuk menulis langkah-langkah untuk membuat sandwic kacang atau apa-apa sahaja proses lain. Kemudian, anda perlu mengikut setiap langkah itu di hadapan mereka untuk menunjukkan langkah yang mereka tulis itu tepat atau tidak. Permainan yang melibatkan konsep susunan ini membuat anak-anak berfikir dengan lebih kritikal untuk memastikan setiap proses mengikut susunan yang betul dan tidak terlepas apa-apa arahan yang boleh menggagalkan hasil.

Tonton bagaimana aktiviti ini memberi pengalaman lucu dan istimewa buat seisi keluarga menerusi video ini

4.Permainan teka teki

Sebelum anak-anak mempelajari bahasa komputer atau mereka sistem robot yang sebenar, mereka perlu dilatih untuk berfikir secara kreatif dan belajar menyelesaikan masalah. Anda boleh melatih kemahiran tersebut secara santai dan menghiburkan melalui permainan yang melibatkan teka-teki dan soalan. Tingkatkan keterujaan anak-anak dengan plot penceritaan yang penuh imaginasi seperti misi melarikan diri dari bilik berkunci (Escape Room) atau mencari harta karun (Treasure Hunt) yang sudah pastinya melibatkan banyak kata kunci dan penyelesaian teka-teki.

Sesuaikan teka-teki dengan kemahiran dan usia anak-anak supaya mereka tidak mudah putus asa dan pada masa yang sama tidak terlalu bosan dengan cabaran yang terlalu mudah.

Kesimpulannya, terdapat banyak aktiviti menyeronokkan yang dapat mendedahkan dan meningkatkan asas pengetahuan coding dan robotik anak-anak. Bahkan, setiap rutin mereka daripada bangun tidur hingga kembali ke tempat tidur juga mempunyai pengetahuan tersebut jika anda bijak mencungkil dan memanipulasikannya.  

Leave a Reply