fbpx

Cart

Kemahiran hidup merupakan satu kemahiran penting yang perlu diasah sejak kecil lagi bagi menyediakan anak-anak untuk hidup berdikari dan menyelesaikan masalah mereka sendiri. Apatah lagi, kemalangan dan situasi kecemasan boleh berlaku tak kira usia dan kita perlu memastikan mereka bersedia. Namun, ibu bapa tidak perlu khuatir kerana terdapat banyak aktiviti-aktiviti mudah dan menyeronokkan untuk mendidik anak-anak mempelajari kemahiran ini, antaranya;

1.Pencarian Harta Karun

Buatlah permainan ini di persekitaran luar yang dikelilingi alam semula jadi supaya anak-anak dapat merasai pengalaman memanjat bukit kecil, melalui denai atau tanah berlecak dan menyelak rimbunan daun bagi menyelesaikan misi mereka. Anda juga boleh menyenaraikan objek-objek semula jadi seperti batu berbentuk segi tiga, daun berbentuk hati atau jenis bunga tertentu untuk dicari. 

2. Mengikat Tali

Ajarkan anak-anak kemahiran mengikat tali yang asas, seperti ikatan buku sila dan tindih kasih. Tunjukkan juga kegunaan ikatan-ikatan ini dalam tugasan-tugasan praktikal seperti membuat khemah atau mengikat dan menarik kayu. Seterusnya, ajak anak-anak untuk mempraktikkan kemahiran mengikat tali mereka menerusi aktiviti menarik seperti mengikat tali kasut menggunakan tali berwarna-warni, permainan memancing, membuat gelang tali dan mengikat kraftangan dari sumber semula jadi seperti rumput panjang dan dahan yang lembut. 

3. Bermain Rumah-rumah

Ajarkan anak-anak untuk membina rumah kecil menggunakan dahan-dahan kayu, dedaunan dan pelbagai objek semula jadi. Anda boleh mengajak anak-anak membina teduhan mini mereka di halaman rumah atau taman rekreasi berdekatan. Jelaskan juga fungsi dan ciri-ciri yang perlu ada pada sebuah teduhan yang baik supaya mereka faham akan kegunaannya.

4.Membuat Unggun Api

Anda juga boleh membimbing anak-anak untuk membuat unggun api agar mereka tidak takut melakukannya dan pada masa yang sama dapat menggunakannya dengan selamat. Terapkan pendidikan tentang keselamatan kebakaran supaya anak-anak tahu tentang bahaya bahan api, cara pencegahan kebakaran dan peraturan apabila berlakunya kebakaran. Bincangkan juga cara-cara pengendalian api yang betul seperti jarak yang selamat, penggunaan peralatan yang betul, dan memadamkan api dengan cermat.

5. Membaca Peta dan Kompas

Anak-anak juga perlu tahu menggunakan kompas atau membaca peta jalan yang ringkas sebagai kemahiran hidup yang asas. Anda boleh mengasah kemahiran ini melalui aktiviti yang menyeronokkan seperti bermain permainan cari arah dengan meminta anak-anak mencari objek menggunakan peta atau kompas.

6. Memberi Pertolongan Cemas

Ajarkan anak-anak teknik pertolongan cemas yang bersesuaian dengan usia mereka seperti cara-cara membersihkan dan menutup luka kecil, mengenali kecederaan yang biasa, dan pada tahap mana pertolongan orang dewasa diperlukan.

Antara aktiviti menarik yang boleh dilakukan bagi mendidik kemahiran ini ialah bermain doktor-doktor, ‘Klinik Teddy Bear’, ‘Pusat Rawat dan Rehat Alat Permainan’, menampal pelekat dan melukis pada balutan, dan memperkenalkan buku cerita atau permainan berkaitan.

7. Memasak di Luar

Anda boleh mendidik kemahiran memasak yang selamat dan mudah untuk anak-anak dengan mendedahkan mereka kepada aktiviti memasak di luar rumah. Anda boleh memberi tugas-tugas mudah kepada mereka seperti memegang kayu pencucuk ikan, menggunakan ranting untuk menyepit dan membalik-balikkan makanan di atas pembakar, memilih daun-daun yang selamat untuk dimakan dan mendapatkan sumber air yang bersih dari sungai atau air hujan. 

Ajarkan juga kepada mereka kaedah yang selamat untuk memasak dan tekankan kepentingan menjaga kebersihan dan keselamatan makanan.

8. Keselamatan Air

Sediakan anak-anak dengan kemahiran berenang dan menyelam dengan kerap membawa mereka mengunjungi kolam renang atau melakukan aktiviti air. Antara aktiviti menyeronokkan yang boleh membuatkan anak-anak rasa selamat dan yakin di dalam air adalah bermain cari objek dalam kolam kecil, membuat jaket keselamatan menggunakan bahan-bahan terbuang, dan berlatih kaedah menyelamat melalui permainan ‘penyelamat dengan orang lemas’.

Terapkan dalam permainan-permainan ini beberapa peraturan asas seperti jangan berenang bersendirian, menjauhi kawasan larangan berenang atau air deras, dan mempraktikkan teknik penyelamatan air seperti melemparkan objek boleh-apung dan rawatan CPR. 

9.Persediaan Kecemasan

Beri pengetahuan tentang kecemasan-kecemasan yang boleh berlaku di dalam dan di luar rumah termasuk apa yang perlu dilakukan apabila berhadapan dengan bencana alam seperti gempa bumi, banjir, dan ribut taufan. Bimbing anak-anak untuk membuat kit keselamatan mereka sendiri dan merancang pelan kecemasan untuk keluarga. Anda juga boleh mempraktikkan pengetahuan dan kemahiran mereka dengan melakukan simulasi gempa bumi dan banjir di rumah.

10.Kenali Haiwan dan Tumbuhan

Bawa anak-anak berjalan-jalan di persekitaran rumah, kawasan kejiranan, taman rekreasi atau meneroka hutan rekreasi terdekat untuk melihat haiwan dan tumbuhan yang berbeza. Terangkan tumbuhan yang selamat untuk dimakan atau mempunyai fungsi tertentu dan haiwan-haiwan yang patut dijauhi.

Secara kesimpulannya, anak-anak boleh dididik dengan kemahiran hidup melalui aktiviti-aktiviti biasa namun cukup menyeronokkan di persekitaran dalam dan luar rumah. Anda cuma perlu meluangkan masa bersama mereka untuk menambah pengetahuan tentang panduan keselamatan dan kepentingan aktiviti berkenaan. Jangan lupa untuk memantau mereka secara dekat dan selaraskan aktiviti mengikut usia dan kemahiran mereka.

Leave a Reply