Tahukah anda bahawa mendekati alam semula jadi boleh memberi manfaat besar kepada kita semua khususnya anak-anak kecil? Selain mempertingkatkan pertumbuhan fizikal, minda, emosi dan sosial anak-anak, aktiviti-aktiviti dalam persekitaran semula jadi boleh memberi anak-anak pengalaman yang unik, belajar pelbagai pengetahuan baru, dan mendidik rasa cinta kepada alam sekitar. Jom dekatkan anak-anak kepada persekitaran semula jadi melalui aktiviti-aktiviti yang berikut;
1.Mencari Benda Tersembunyi
Bawa anak-anak melawat taman-taman rekreasi terdekat atau hutan simpan terbuka bagi memberi peluang untuk mereka meneroka alam semula jadi dengan lebih dekat. Anda boleh menyenaraikan objek-objek semula jadi seperti daun dengan ciri yang istimewa, batu-batuan, bunga dan serangga untuk dicari oleh anak-anak. Aktiviti menyeronokkan ini dapat membantu anak-anak menggunakan semua deria mereka dalam membuat pemerhatian dan mengenali pelbagai sumber alam.
2.Membina taman mini
Ajarkan anak-anak proses menanam dan menjaga tumbuh-tumbuhan yang mudah berbunga atau berbuah di taman mini mereka. Gunakan apa sahaja ruang yang anda ada waima sekadar sebuah pasu bunga, atau seluas-luas halaman di persekitaran rumah anda. Aktiviti ini dapat mendidik anak-anak tentang kitar hidup tumbuhan, kepentingan tanah, dan tanggungjawab memelihara benda hidup. Selain itu, mereka juga akan mendapat kepuasan menuai dan memakan hasil sayur-sayuran dan buah-buahan yang ditanam mereka sendiri.
3.Karya Seni dari Bahan-bahan Alam Semula Jadi
Terdapat banyak jenis karya seni yang boleh dihasilkan melalui penggunaan bahan semula jadi seperti karya cop yang menggunakan daun-daun dan bunga-bungaan beraneka bentuk, atau menampal pelbagai jenis daun dan bunga untuk dijadikan karya kolaj. Aktiviti ini dapat membantu anak-anak melahirkan kreativiti mereka sambil meneroka dan menghargai keindahan alam semula jadi.
4.Memuat Album Gambar
Berikan anak-anak kamera pakai buang atau gunakan kamera pada telefon pintar untuk merakam gambar alam semula jadi di sekeliling mereka. Anda boleh meletakkan tema yang khusus seperti serangga, atau tumbuh-tumbuhan supaya pencarian mereka lebih berfokus. Kemudian, anda boleh mengajak anak-anak untuk menyusun gambar-gambar tadi dalam sebuah album dan melabelnya satu persatu. Selain meningkatkan keyakinan diri dan rasa pencapaian anak-anak, aktiviti yang menyeronokkan ini dapat memberi pengetahuan baru tentang spesies flora dan fauna, serta habitat asalnya.
5.Perkhemahan
Bawalah anak-anak jauh daripada kesibukan kota dan gajet-gajet mereka dengan berkhemah atau berkelah di taman atau hutan rekreasi yang indah dan mendamaikan. Biarkan anak-anak merasai pengalaman dan keseronokan baru dalam alam semula jadi seperti melihat pelbagai jenis serangga dan burung, bermain air di sungai yang jernih, mendaki anak-anak bukit sambil menghirup bau daun dan kayu, serta menikmati keindahan langit berbintang pada waktu malam. Anda juga boleh memperkenalkan aktiviti-aktiviti yang mendidik kemahiran hidup seperti membina khemah, menghidupkan api, memancing dan memasak hasil tangkapan di persekitaran luar.
Sebenarnya, selain daripada senarai di atas, terdapat banyak lagi aktiviti-aktiviti menarik yang anda boleh lakukan bersama anak-anak untuk mendekatkan mereka dengan alam semula jadi. Ingat, dalam era yang mencabar untuk generasi muda kini, di samping gaya hidup di bandar-bandar besar yang sempit dan sibuk, anak-anak memerlukan persekitaran yang mampu merangsang deria serta memulihkan minda dan jiwa mereka.