Subjek matematik merupakan salah satu subjek teras yang penting dan menjadi keperluan untuk masa hadapan. Tambahan, subjek ini menjadi salah satu bidang dalam STEM (Science, Technology, Engineering, Mathematics) yang telah lama diserap dalam sistem pendidikan bagi menyediakan pelajar ke arah permintaan dan potensi pasaran kerja masa hadapan. Namun, kita perlu akui bahawa sebahagian pelajar mempunyai masalah untuk menguasai subjek ini. Hal ini perlu diambil perhatian supaya pelajar yang bermasalah tidak dibiarkan terus ketinggalan dan seterusnya menjadikan mereka hilang minat dan tujuan untuk mempelajari matematik. Bagi membantu ibu bapa dan tenaga pengajar, kami telah menyenaraikan beberapa cara efektif untuk membantu pelajar yang bermasalah dengan matematik. Antaranya:
1. Kenal pasti topik bermasalah
Kebiasaannya, setiap pelajar mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri. Lemah dalam matematik bukan bermaksud mereka bermasalah untuk menguasai setiap topik secara keseluruhannya. Pasti ada sebahagian atau sesebuah topik yang lebih menyukarkan buat mereka. Justeru, kenal pasti kelemahan tersebut supaya anda dapat mencari penyelesaian yang tepat.
2. Pecahkan Masalah
Tiada masalah yang terlalu besar untuk diselesaikan sekiranya anda tahu cara untuk memecahkannya menjadi lebih kecil dan menjadikannya lebih mudah untuk diselesaikan. Setelah pelajar dapat mengenal pasti topik atau soalan yang sukar diselesaikan, cuba bahagikannya kepada beberapa fragmen kecil atau kategorikan kepada beberapa subtopik. Contohnya, dalam fungsi algebra, pelajar boleh memecahkan soalan kepada beberapa topik kecil seperti nombor, perwakilan huruf dan operasi pengiraan. Daripada pecahan topik kecil ini, kenal pasti pula bahagian yang tidak difahami dan fokus pada bahagian itu untuk penambahbaikan.
Selain itu, pelajar boleh menyelesaikan operasi pengiraan nombor yang besar dengan memecahkannya menjadi lebih kecil. Hasilnya, pelajar lebih selesa dan berkeyakinan untuk membuat pengiraan dengan lebih cepat dan tepat.
3. Tukar Kaedah Pembelajaran
Setiap individu mempunyai gaya pembelajaran yang tertentu. Contohnya, kaedah visual (melalui tulisan, gambar dan rajah), pendengaran atau auditori (melalui sebutan bunyi dan lagu) atau kinestetik (melalui sentuhan objek dan pergerakan anggota badan). Sekiranya pelajar cenderung kepada kaedah pendengaran atau kinestetik, mereka mungkin akan mengalami kesukaran untuk memahami formula abstrak matematik seperti nombor, algebra dan formula-formula lain. Tukarlah kaedah pembelajaran yang lebih sesuai dengan kecenderungan mereka seperti menggunakan pendekatan hands-on, video atau permainan interaktif bagi pembelajaran topik-topik berkaitan.
4. Kaitkan dengan Dunia Nyata
Sebahagian pelajar mungkin merasakan pembelajaran di dalam buku dan kelas membosankan. Di samping itu, mereka juga tidak sedar akan tujuan dan aplikasinya dalam kehidupan mereka. Justeru, cuba kaitkan pembelajaran matematik dengan dunia nyata supaya mereka seronok belajar dan faham akan kepentingannya. Sebagai contoh, beri mereka mengira sukatan untuk ramuan membuat kek, mengira dan membayar pembelian di kedai runcit, atau bahagikan potongan buah untuk setiap ahli keluarga. Jangan lupa, selaraskan tahap kemahiran pelajar dengan tugas-tugas pengiraan yang bersesuaian supaya mereka tidak tertekan.
5. Berikan Keseronokan
Ibu bapa dan guru juga perlu memberi sokongan penuh kepada pelajar supaya mereka lebih gigih dan berani untuk mengharungi cabaran-cabaran dalam menguasai subjek matematik. Hal ini kerana, kemahiran menyelesaikan masalah memerlukan keberanian dan keyakinan diri untuk mencuba dan membuat kesilapan. Tanpa sokongan daripada orang-orang sekeliling, mereka akan beranggapan bahawa usaha mereka tidak dihargai, tertekan, dan takut untuk membuat kesalahan.
Kesimpulannya, kunci untuk membantu pelajar yang bermasalah dengan matematik ialah mengenal pasti punca-punca yang menyumbang kepada masalah itu sendiri. Selain itu, ibu bapa dan guru memainkan peranan penting dalam membantu dan menyokong mereka supaya mereka tidak terus ketinggalan dan lebih bersemangat untuk mempelajari matematik.