Umum tahu bahawa setiap anak-anak mempunyai sifat dan minat berbeza. Alangkah bagus jika setiap ibu bapa dapat menyemai sifat atau minat yang baik untuk anak-anak mereka sedari usia muda agar setiap langkah kehidupan mereka dapat dirancang dan dibantu sebaiknya. Sesungguhnya, mengenal pasti dan memupuk minat anak-anak memerlukan pemerhatian teliti, perhatian penuh, dan juga kesabaran yang tinggi. Anda juga boleh mengikuti langkah-langkah berikut bagi memupuk minat anak-anak dalam bidang yang berpotensi dapat menerangi masa hadapan mereka
1. Buat pemerhatian
Perhatikan tingkah laku anak-anak, aktiviti-aktiviti yang sering mereka lakukan, serta apa sahaja subjek dan objek yang menjadi kegemaran mereka. Apabila anak-anak meminati sesuatu aktiviti atau subjek, anda akan dapat melihat penglibatan mereka yang lebih aktif dan mereka akan meminta untuk mengulanginya berkali-kali. Nilaikan pemerhatian anda untuk aktiviti yang berbeza. Anda pasti dapat temui minat anak-anak anda.
2. Bertanya pendapat
Ibu bapa juga boleh bertanyakan secara langsung tentang kesukaan anak-anak, apa yang mereka ingin pelajari dan apa yang membuat mereka rasa seronok. Galakkan anak-anak untuk bercerita tentang pandangan dan perasaan mereka. Perkara ini penting bagi membina kepercayaan di samping mendapatkan maklum balas mereka tentang sesuatu subjek. Apatah lagi anak-anak sifatnya suka mencuba. Barangkali pada awalnya mereka suka, kemudian bertukar sebaliknya pula.
3. Beri pendedahan
Ibu bapa perlu memberi peluang kepada anak-anak untuk mendalami minat mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh membawa mereka ke perpustakaan atau kedai buku untuk mencari buku-buku berkaitan minat mereka, melawat muzium atau galeri yang menempatkan produk-produk atau tokoh-tokoh berkaitan, menghadiri konsert muzik sekiranya mereka berminat dalam bidang tersebut, atau menonton perlawanan sukan kegemaran mereka.
4. Mencuba perkara baru
Galakkan anak-anak untuk mencuba pelbagai perkara baru dalam hidup mereka supaya mereka tahu ada pelbagai bidang menyeronokkan yang mereka boleh ceburi. Biarkan mereka bereksperimen dengan hobi, aktiviti dan subjek yang berlainan untuk merasai pengalaman yang berbeza. Namun begitu, pastikan ibu bapa membuat kawalan agar anak-anak yang polos ini tidak mencuba perkara-perkara baru yang bersifat negatif yang berpotensi merosakkan diri dan masa hadapan mereka. Sebaliknya, perkenalkanlah program-program pendek seperti pertandingan melukis, bengkel coding dan robotik, atau bengkel kemahiran STEM dalam jadual bulanan anak-anak bagi mendedahkan mereka kepada pengetahuan baru
5. Beri Galakan
Akhir sekali, tak kira apa jua minat yang anak-anak ingin ceburi, berilah galakan dan sokongan penuh kepada mereka. Ibu bapa mungkin boleh menyuluhkan jalan, namun anak-anak sendiri yang membuat keputusan untuk melangkah atau berundur ke belakang. Teruskan memberi maklum balas positif dan bantu mereka mengharungi cabaran supaya mereka berani mencuba dan cekal bertahan.
Ingat, minat dan keperluan anak-anak boleh berubah dari semasa ke semasa. Jadi ibu bapa perlu sentiasa memantau perkembangan dan perubahan anak-anak di samping memberi galakan dan sokongan kepada mereka.