Pada dua kurun pertama dalam abad ke-21 ini, kita dapat menyaksikan kemajuan pesat teknologi dan sosiologi, yang membawa kepada transformasi dan pelupusan sebahagian industri atau pekerjaan. Walaupun agak sukar untuk kita ramalkan kerjaya-kerjaya yang bakal lenyap dalam abad ini, kita dapat lihat beberapa jenis pekerjaan yang telah pun berkurangan atau pun berkemungkinan besar bakal hilang pada beberapa tahun akan datang. Antaranya;
1.Pencentak dan Penerberitan Tradisional
Dengan peningkatan populariti kandungan digital dan buku elektronik (e-book), permintaan untuk pencetak dan penerbitan tradisional dijangka akan berkurangan. Bahkan, pada dua kurun kebelakangan ini, industri ini telah pun mengalami kemerosotan sejak aplikasi-aplikasi digital mengambil alih buku-buku bacaan, surat khabar, gambar dan filem.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Pencetak iklan dan surat khabar, pengedar buku dan surat khabar, pengusaha kedai buku, pengusaha kedai sewa-beli video, operator mesin fotokopi, jurutera dan juruteknik mesin pencetakan, pustakawan
2.Ejen Perlancongan
Platform-platform pelancongan atas talian dan sistem penempahan-kendiri sudah pun semakin banyak malah semakin canggih. Kemudahan ini bakal mengurangkan kebergantungan kepada ejen-ejen pelancongan untuk merancang dan menempah tiket penerbangan, hotel, dan pakej-pakej percutian. Pengguna juga boleh mendapatkan informasi-informasi mengenai tempat percutian mereka melalui aplikasi pintar dalam telefon mudah alih mereka yang turut dilengkapi teknologi penterjemahan bahasa.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Ejen pelancongan, pemandu pelancong, penjual tiket fizikal, penterjemah bahasa
3.Pengawai Bank
Pertumbuhan pesat perbankan atas talian, mesin tunai ATM, dan sistem pembayaran mudah alih telah menyebabkan pengurangan jumlah pegawai bank pada hari ini dan dijangka akan lebih ketara pada masa hadapan. Apatah lagi masyarakat kini merasakan urusan di bank terlalu melecehkan dan lebih gemar melakukan urusan mereka secara dalam talian.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Pegawai Bank, Pengurus Cawangan Bank, Pekerja-pekerja Keselamatan dan Am di cawangan Bank
4.Pengawai Khidmat Pelanggan
Bahagian khidmat pelanggan yang merupakan satu keperluan dalam syarikat-syarikat yang menawarkan servis kepada pengguna sudah mula menggantikan sumber manusia dengan sistem komputer dan aplikasi digital seperti mesej suara automatik, sistem perbualan auto-balas, dan terkini, interaksi dengan pegawai virtual yang menggunakan teknologi AI.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Pegawai Khidmat Pelanggan, Operator Telefon, Pegawai Pemasaran Telefon, Penyambut tetamu
5.Operator pengeluaran
Kemajuan teknologi automasi dan robotik yang mula diguna pakai dalam industri pembuatan telah menggantikan banyak sumber tenaga manusia dan dibuktikan lebih cekap, mudah, dan menjimatkan kos.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Operator kilang dan pengeluaran, ketua-ketua bahagian, pegawai sumber manusia, ejen-ejen kemasukan buruh dan warga asing, pekerja am fasiliti kantin dan asrama
6.Juru Servis Kenderaan Tradisional
Akan datang, penggunaan kenderaan elektrik dan kereta pandu-sendiri akan meningkat sekaligus melupuskan penggunaan kenderaan biasa yang menggunakan petrol pada kurun ini. Seiring dengan itu, servis-servis yang melibatkan kenderaan tersebut tidak lagi diperlukan seperti pemasaran, pemanduan, pembaikian, dan pengisian petrol.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Mekanik kenderaan (tradisional), pembekal dan pengedar alat ganti kereta tradisional, pemandu teksi, pengendali stesen minyak
7.Jururawat Am
Bidang kesihatan dijangka akan menerapkan lebih banyak teknologi-teknologi baru dalam menambah kecekapan fasilitinya seperti mesin pendaftaran pintar, robot-robot pra-diagnosis yang boleh membuat ujian ringkas seperti paras oksigen, tekanan darah, kandungan gula dan lain-lain. Semua fasiliti ini bakal menghapuskan tugas jururawat am yang pada masa ini melibatkan sumber manusia yang ramai.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Jururawat Am, pembantu makmal, pembantu farmasi, kakitangan bahagian pendaftaran dan sumber manusia, juru radiologi
8.Jurugambar
Dengan kemajuan dan kemampuan fotografi pada telefon pintar yang lebih ringan dan mudah, permintaan untuk jurugambar atau ahli fotografi mungkin akan berkurangan. Apatah lagi dengan hadirnya aplikasi-aplikasi digital yang mampu menyunting gambar secara automatik, ditambah pula dengan fungsi ‘filter’ yang boleh mengindahkan rupa gambar secara langsung.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Jurugambar, juruvideo, penyunting gambar/video, pengedar dan penjual filem, pengusaha kedai cuci dan cetak foto
9.Model Produk
Dunia telah dikejutkan dengan kebolehan kepintaran buatan (AI) untuk menghasilkan foto manusia yang realistik mengikut preskripsi yang diberikan. Teknologi ini telah mula digunakan untuk mengambil alih tugas manusia bagi mempromosi sesuatu produk atau sebagai hiasan dalam strategi pemasaran. Dijangka, teknologi ini akan digunakan secara meluas sekurang-kurangnya dalam pemasaran digital bagi mengurangkan kos pembiayaan model sebenar yang agak mahal.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Model, agensi dan pengurus model, juruhias, jurugambar
10.Pekerja Runcit
Sebahagian masyarakat dunia khususnya di kawasan-kawasan yang lebih membangun sudah mula beralih ke arah sistem jual beli dalam talian dan sistem pembayaran-kendiri (self-checkout). Dijangka, pengguna sistem-sistem ini akan meningkat dengan drastik pada masa hadapan sekaligus melenyapkan permintaan untuk pekerja-pekerja dalam sektor pemasaran fizikal.
Contoh pekerjaan yang terlibat dalam bidang ini;
Juruwang, pegawai pemasaran tradisional, pembantu kedai.
Senarai yang diberikan di atas cuma sebahagian daripada banyak lagi kerjaya-kerjaya yang bakal mengalami rombakan drastik pada abad ke-21. Namun begitu, sebahagian bidang pekerjaan mungkin tidak akan lupus semudah yang dijangkakan berikutan banyak lagi faktor-faktor pembendung lain seperti ekonomi, sosial dan politik. Selain itu, penting untuk anda ingat bahawa di sebalik bidang-bidang pekerjaan yang bakal lupus ini, lahir pula peluang-peluang pekerjaan yang baru. Justeru, persediaan yang paling baik bagi menghadapi perubahan ini adalah dengan sentiasa peka dengan maklumat-maklumat semasa, mendidik diri dan generasi muda untuk mempelajari kemahiran STEM, dan memajukan diri untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang sentiasa berkembang.