fbpx

Cart

Seiring dengan kemajuan teknologi zaman kini, penggunaan aplikasi digital dalam kehidupan harian semakin meningkat. Bahkan, kanak-kanak juga telah ramai terdedah kepada seni digital sama ada melalui aplikasi mewarna ringkas ataupun aplikasi lengkap yang lebih profesional. Medium kreatif ini memberi peluang kepada kanak-kanak untuk mengembangkan imaginasi dan mengekspresikan diri mereka dalam cara yang unik. Ibu bapa boleh membantu anak-anak mereka untuk mendalami asas belajar melukis digital iaitu;

1. Kemahiran melukis dan mewarna.

Sebenarnya seni digital ini bukanlah satu cabang seni yang baru. Proses pembuatannya lebih kurang sama dengan seni visual tradisional iaitu melukis dan mewarna. Jadi, galakkan anak-anak untuk mengasah kemahiran melukis dan mewarna mereka melalui latihan yang konsisten untuk meningkatkan fleksibiliti dan memori motor mereka.

Gambar: Biarkan anak-anak belajar mengenal dan merasai sendiri medium dan tekstur warna secara fizikal untuk membantu kemahiran motor mereka.

2. Menguasai elemen seni.

Elemen seni merupakan teori-teori asas yang digunakan sebagai panduan dalam mencipta karya seni. Antara elemen yang dimaksudkan ialah garisan, bentuk, warna, pencahayaan dan ruang. Sebagai contoh, memahami teori warna membolehkan pengguna untuk memilih padanan warna yang sesuai.

Gambar: Elemen seni umpama blok-blok asing yang dihimpun untuk membentuk sebuah karya

3. Pengetahuan prinsip seni.

Gabungan elemen seni yang dinyatakan di atas akan membentuk prinsip seni yang lebih besar seperti keseimbangan, corak, ritma, kepelbagaian dan lain-lain. Pengetahuan ini penting bagi memastikan karya seni tampak lebih menarik dan berupaya menyampaikan mesej tertentu.

Gambar: Gabungan sebahagian elemen-elemen seni membentuk prinsip seni yang dijadikan panduan untuk mencipta sebuah karya yang baik.

4. Kreativiti

Kemahiran intelektual ini sememangnya penting bagi melahirkan dan memperbaharui idea-idea yang datang daripada alam sekeliling. Galakkan anak-anak untuk mengasah kreativiti mereka dengan melukis sesuatu yang berlainan, menambah atau menukar warna rekaan, dan bereksperimen dengan teknik dan gaya yang baru.

5. Peralatan digital

Anak-anak yang ingin berjinak dalam seni digital perlu membiasakan diri dengan penggunaan peralatan digital seperti tablet grafik, pen stylus, dan perisian digital. Ibu bapa perlu bijak memilih aplikasi seni digital yang mesra pengguna dan bersesuaian dengan umur dan kemahiran anak-anak.

Gambar: Perisian seni digital yang sesuai dengan kanak-kanak mempunyai  interface yang lebih ringkas dan ikon yang jelas.

Secara keseluruhannya, asas yang diperlukan untuk menghasilkan seni digital sebenarnya tidak jauh beza dengan seni tradisional. Kedua-duanya memerlukan kemahiran melukis, pemahaman teori dan kreativiti. Bezanya, seni digital memerlukan kemahiran dan pengetahuan dalam mengendalikan alat aplikasi digital.

Leave a Reply