fbpx

Cart

Bidang pendidikan STEM yang merupakan ringkasan bagi Science, Technology, Engineering dan Mathematics bukan lagi sesuatu yang asing bagi masyarakat zaman kini. Generasi muda kita telah didedahkan dengan pendidikan STEM seawal sekolah rendah lagi bagi mengasah daya inovasi, pemikiran kritikal, dan kemahiran menyelesaikan masalah. Namun, cukupkah sekadar menguasai STEM untuk jaminan kerjaya masa hadapan?

Menyedari pendidikan STEM hanya tertumpu kepada pengetahuan logik dan kemahiran minda untuk menghubungkan fakta, pendidikan STEM+ pula diperkenalkan sebagai pelengkap dengan menyertakan bidang tambahan yang tidak kurang pentingnya seperti seni, kemanusiaan, sains sosial dan keusahawanan. Melalui STEM+, subjek-subjek teras STEM iaitu sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan dapat dihubungkan dengan nilai-nilai artistik, sejarah, sivik, undang-undang dan perniagaan.

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa tuntutan pasaran kerja di masa hadapan akan lebih kompleks dan mencabar untuk generasi anak-anak kita. Manusia bakal bersaing dengan mesin kepintaran buatan (AI) dan berdepan dengan krisis sumber yang semakin berkurangan. Mereka memerlukan kemahiran yang membolehkan mereka menonjolkan diri seperti kemahiran komunikasi dan interpretasi, kebolehan memvisualkan idea dan lain-lain.

Justeru, STEM+ dilaksanakan bagi menyediakan pendidikan yang lebih komprehensif bagi generasi muda, seterusnya mempersiapkan mereka untuk menghadapi masa hadapan. Sebagai contoh, program STEM+ dapat menggabungkan bidang kejuruteraan dengan bidang seni bagi melatih pelajar dalam skop kerjaya rekaan produk. Manakala subjek matematik yang dihubungkan dengan sains sosial boleh diaplikasikan dalam bidang pembangunan data yang melibatkan tingkah laku manusia.

Selain itu, pendidikan STEM+ dapat mendorong pelajar daripada pelbagai latar belakang untuk menghubungkan sejarah, sosio-budaya, dan nilai-nilai kemanusiaan dalam penyelesaian masalah. Apatah lagi setiap kelompok masyarakat di dunia memiliki sosial dan budaya yang unik, yang menjadikan masalah dan mencari penyelesaiannya juga unik. Justeru, kita perlu mengenali budaya dan sosial sesuatu masyarakat setempat terlebih dahulu sebelum menyelesaikan masalah mereka. 

Kesimpulannya, peluang kerjaya dan cabaran hidup di masa depan memerlukan lebih daripada pengetahuan STEM semata-mata. Lantas, kita perlu memperkayakan generasi muda hari ini dengan pengetahuan-pengetahuan tambahan yang boleh menghubungkan kemahiran STEM dengan sistem kemasyarakatan, sekaligus menonjolkan lagi nilai dan potensi diri untuk kekal relevan di masa depan. 

Leave a Reply