Pernah dengar tentang coding dan robotik? Apa sebenarnya coding dan robotik ni?
Coding dan robotik merupakan dua bidang berbeza tapi saling berkaitan yang melibatkan penggunaan teknologi dan pengaturcaraan komputer untuk mencipta, mengawal dan memanipulasi sesebuah jentera atau sistem.
Pengaturcaraan komputer atau lebih mudah disebut dan dikenali dengan terma inggerisnya ‘coding’ merupakan arahan bertulis dalam bahasa khusus komputer. Setiap arahan bertulis ini melibatkan susunan arahan dan algoritma untuk memberi arahan kepada komputer apa dan bagaimana untuk membuat sesuatu. Umumnya, coding digunakan untuk membina perisian digital, laman sesawang, permainan video, dan pelbagai lagi aplikasi digital.
Robotik yang diambil daripada perkataan inggerisnya ‘robotics’ pula melibatkan rekaan, binaan, operasi dan pengaturcaraan robot. Robot yang dimaksudkan di sini merupakan mesin yang boleh beroperasi secara automatik atau dengan kawalan manusia bagi membuat sesuatu tugas yang khusus. Robotik telah diaplikasikan secara meluas dalam pelbagai sektor seperti pembuatan, kesihatan, eksplorasi angkasa lepas dan pengangkutan.
Kedua-dua coding dan robotik selalunya digunakan bersama dalam rekaan dan pembinaan mesin atau robot. Secara khususnya, coding menyediakan arahan bagi robot-robot ini untuk bergerak, membuat tindakan dan berinteraksi dengan persekitarannya. Dalam kata lain, kemahiran coding diperlukan dalam bidang robotik bagi mencipta, mengubahsuai dan mengawal robot bagi melakukan sesuatu tugasan atau tindakan.
Jadi, bagaimana kedua-dua bidang ini dapat memberi manfaat kepada anak-anak anda?
Mempelajari coding dan robotik dapat meningkatkan kemahiran-kemahiran penting yang diperlukan dalam era digital masa kini dan mempersiapkan anak-anak anda untuk memperoleh peluang kerjaya yang lebih luas pada masa hadapan. Antara kemahiran yang dapat diasah melalui program coding dan robotik adalah;
1. Daya Fikir Kritikal
Program coding dan robotik menerapkan penyelesaian masalah, alasan logik, dan kemahiran analitik. Semua proses ini dapat melatih daya fikir kritikal yang boleh membantu anak-anak anda untuk menghuraikan dan menyelesaikan masalah yang kompleks.
2. Kreativiti dan Inovasi
Coding dan robotik memberi peluang untuk anak-anak anda berfikir secara kreatif bagi mencari solusi yang unik bagi setiap masalah. Selain itu, anak-anak juga digalakkan untuk berfikir di luar kotak bagi melahirkan idea-idea baru yang diperlukan untuk mereka cipta projek mereka sendiri.
3. Mengasah Pemikiran Berkomputer
Coding dan robotik melibatkan pemikiran berkomputer iaitu kebolehan untuk memahami dan menyelesaikan masalah menggunakan kaedah langkah demi langkah. Kemahiran ini membantu anak-anak membentuk asas yang kuat dalam konsep pengaturcaraan komputer, algoritma dan data analisis yang sangat diperlukan dalam era digital kini.
The RM1 Trial Class is available for Maths, Coding & Robotics and Digital Art programmes.
4. Meningkatkan Kemahiran STEM
Coding dan robotik sememangnya berkait rapat dengan bidang STEM (Science, Technology, Engineering and Mathematics). Justeru, menerusi program coding dan robotik, anak-anak juga dapat meningkatkan pemahaman mereka dalam subjek-subjek STEM yang sangat penting dan berguna dalam abad ini.
Secara keseluruhannya, mempelajari coding dan robotik memberi banyak manfaat seperti meningkatkan daya fikir kritikal, mengasah kreativiti dan inovasi, melatih kemahiran komputer, dan menambah pengetahuan STEM. Semua kemahiran ini sangat bernilai dan berguna dalam dunia digital kini dan masa hadapan yang dijangka lebih mencabar.