Seiring dengan kemajuan teknologi digital, penggunaan seni digital dilihat semakin popular lebih-lebih lagi dalam kalangan generasi muda pada masa kini. Malah, bidang ini dijangkakan bakal membuka lebih banyak pintu kerjaya yang penting pada masa hadapan seperti;
1.Artis Realiti Maya (VR) dan Realiti Buatan (AR)
Perkembangan teknologi VR dan AR bakal membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada artis-artis rekaan digital untuk mencipta visual yang menarik dan interaktif. Antara skop tugas dalam bidang ini ialah penciptaan dunia maya, objek 3D, dan efek visual melalui peralatan VR dan AR.
2. Pereka Imej Holografik
Imej holografik merupakan satu teknologi pancaran visual yang canggih dan mengujakan. Kemajuan teknologi pada masa akan datang bakal meningkatkan dan memudahkan penghasilan imej holografik sekaligus meningkatkan permintaan bagi pereka teknologi ini.
3.Artist NFT
NFT atau Non-Fungible Token merupakan token digital yang membolehkan anda menjual dan membeli hak milik sesuatu aset digital. NFT telah mendapat populariti dalam industri seni digital berikutan permintaan tinggi terhadap koleksi-koleksi grafik unik yang dijangka akan berterusan di masa depan. Artis NFT boleh mereka dan memuat naik aset-aset rekaan digital mereka ke dalam platform jual beli ini sebagai satu bentuk perniagaan.
4.Pereka Konsep Permainan Video
Permintaan bagi pereka konsep dalam industri permainan video dan filem dijangka akan terus meningkat. Artis-artis konsep berperanan dalam memvisualkan karakter, tempat dan aset-aset yang terlibat bagi memberi idea kepada kumpulan artis lain untuk melukis atau membina rekaan akhir.
5.Pereka Kreatif AI
Sejajar dengan perkembangan Kepintaran Buatan atau AI, pereka kreatif dalam bidang AI meneroka setiap idea dan peluang dalam pertembungan AI dengan seni. Mereka mencipta algoritma dan sistem yang membantu artis-artis menghasilkan karya seni, melupuskan proses-proses rumit dan leceh dalam penghasilan karya, dan mengkaji potensi bidang kreatif dalam pembelajaran mesin.
6.Penganalisis Data Kreatif
Teknologi penghasilan imej dan grafik AI memerlukan berbilion-bilion data sebagai panduan dan acuan kepada produk akhirnya. Justeru, teknologi ini memerlukan kepakaran manusia untuk menilai dan menapis data-data yang ada. Selain itu, mereka juga perlu mempunyai pengetahuan dalam bidang coding dan pengaturcaraan komputer bagi proses kajian, pembinaan dan kawalan kualiti.
7.Pereka UI/UX Perisian dan Aplikasi Digital
Peningkatan produk digital pada masa hadapan memerlukan pereka yang berkemahiran dalam bidang seni digital untuk memvisualkan konsep, rekaan fungsi, dan semua paparan pengguna (user interface) samada dari sudut teknikal mahupun estetik.
8.Pereka Media Interektif
Dijangka pada masa hadapan, sebahagian besar kaedah penerbitan dan pemasaran fizikal akan bertukar kepada bentuk digital. Justeru, industri kreatif yang sebelum ini hanya mereka majalah, poster, buku dan papan iklan biasa mungkin akan berubah kepada kiosk-kiosk skrin sentuh, iklan interaktif dan pembentangan multimedia. Justeru, pasaran dalam bidang ini akan memerlukan pereka teknologi kreatif yang pakar dalam teknologi skrin sentuh dan pengesan pergerakan bagi menghasilkan pengalaman yang menarik dan interaktif.
Perlu diingatkan, semua kerjaya yang dinyatakan di atas hanyalah jangkaan berdasarkan peningkatan teknologi dan trend yang berkaitan pada masa kini. Teknologi-teknologi ini mungkin melupuskan atau melahirkan sebahagian kerjaya dalam bidang artistik, namun terdapat banyak pembolehubah lain yang mungkin akan mempengaruhi jangkaan kita. Sekiranya anda berminat dan ingin maju dalam bidang seni digital, teruslah mengkaji dan meneroka teknologi-teknologi baru di samping meningkatkan dan memperluas kemahiran sedia ada.