Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kita dapat saksikan pola peningkatan program-program coding dan robotik yang ditawarkan baik di dalam mahupun di luar negara. Sebahagian ibu bapa menganggap program ini sebagai sesuatu yang canggih dan mengujakan sekadar untuk mengisi masa lapang anak-anak mereka. Namun tahukah anda bahawa bidang coding dan robotik dijangkakan mempunyai potensi dan peluang kerjaya yang lebih tinggi berbanding bidang lain pada masa hadapan? Di sini kami senaraikan kerjaya-kerjaya dalam bidang berkenaan yang mungkin menarik minat anak-anak;
1.Pembagunan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence-AI)
Perkembangan teknologi AI semakin mendapat perhatian dan permintaan disebabkan fungsinya yang banyak memudahkan pengguna. Justeru, industri penghasilan teknologi ini dijangkakan akan terus berkembang, sekaligus menambah permintaan untuk pakar-pakar pengaturcaraan komputer dan pembelajaran mesin.
2.Jurutera Robotik
Kejuruteraan robotik umumnya melibatkan proses rekaan, pembuatan dan pemeliharaan sistem robot. Penggunaan robot dijangka akan meningkat pada masa hadapan dalam pelbagai industri seperti industri pembuatan, kenderaan, kesihatan, penerokaan laut dalam dan angkasa, malah dalam hubungan sosial. Sudah tentunya, industri ini akan memerlukan lebih ramai jurutera-jurutera yang mempunyai kepakaran dalam bidang robotik.
3.Pembagunan Virtual Reality (VR) dan Augmented Reality (AR)
Realiti Maya atau lebih dikenali sebagai Virtual Reality merupakan satu teknologi yang membolehkan pengguna masuk dan berinteraksi dalam dunia maya. Realiti Perantara atau Augmented Reality pula membolehkan pengguna melihat objek tidak nyata seolah-olah wujud di dunia sebenar. Kedua-dua teknologi ini semakin meningkat popular dan dijangka akan digunakan secara meluas dalam pelbagai industri seperti permainan video, pendidikan, kesihatan, dan latihan profesional.
4.Pembagunan Internet of Things (IoT)
Pernahkah anda fikir bahawa alangkah bagusnya jika anda dapat menghubungi dan mengawal alat kawalan jauh TV anda yang kerap hilang? Masalah tersebut bakal lenyap dengan tercetusnya Internet of Things atau sistem rangkaian (network) yang terdapat dalam peralatan (Things). Pada zaman ini, anda sudah dapat lihat sistem IoT dalam telefon bimbit, jam tangan pintar, sistem keselamatan dan sebahagian kenderaan ciptaan terbaru. Kelak pada masa hadapan, teknologi ini dijangka akan diperluas ke dalam lebih banyak lagi peralatan harian bagi membantu manusia berhubung dengan alatan mereka dan mengawalnya dari jarak jauh.
5.Penganalisis Data Komputer
Dengan kebanjiran data digital yang terdapat pada masa kini dan bakal meningkat pada masa akan datang, penganalisis atau saintis data sangat diperlukan bagi menapis data-data penting daripada kolam besar maklumat ini. Bidang ini memerlukan pengetahuan dan kemahiran coding dan analisis statistik untuk mengasingkan maklumat yang diperlukan bagi setiap organisasi yang berlainan.
6.Pakar Keselamatan Cyber
Seiring kemajuan teknologi, ancaman yang datang daripadanya juga akan lebih banyak dan mencabar. Permintaan bagi pakar keselamatan cyber akan meningkat bagi melindungi sistem komputer, rangkaian dan data-data pengguna atau syarikat daripada serangan cyber dan pencerobohan. Selain itu, bidang ini juga bertanggungjawab membangunkan tatacara coding yang selamat, melaksanakan teknik penyulitan maklumat, dan memantau keseluruhan sistem yang terlibat daripada sebarang kelemahan dan masalah.
7.Jurutera Perisian Komputer
Kerjaya yang telah sedia popular ini dijangka akan kekal relevan pada masa hadapan seiring dengan kepesatan dunia digital dan permintaan untuk perisian-perisian peranti mudah alih. Malah, selain membina dan mereka aplikasi pengguna, tugas jurutera perisian komputer pada masa akan datang dijangka akan lebih kritikal khususnya dalam memastikan perisian baru setanding dengan teknologi yang semakin canggih dan lebih baik daripada apa yang ada pada zaman kini.
8.Jurutera Automasi
Pada masa akan datang, dijangka lebih banyak tugas-tugas manual, leceh dan berulang akan dihapuskan oleh proses automasi. Sistem yang direka dan dibina oleh jurutera automasi ini akan memperkemaskan dan mengoptimumkan sesuatu proses menggunakan teknologi yang melibatkan robotik, pembelajaran mesin, dan aplikasi komputer.
9.Penggodam Beretika
Dengan peningkatan ancaman cyber pada masa hadapan, penggodam beretika atau lebih dikenali sebagai jurutera keselamatan cyber amat diperlukan bagi menyerang atau menceroboh sistem komputer bagi menguji keselamatannya. Kerjaya yang melibatkan pengetahuan coding dan penyelesaian masalah ini banyak digunapakai dalam industri-industri pembinaan sistem bank, jual beli, dan perisian-perisian komputer yang melibatkan data-data penting pengguna.
10.Pengkaji
Pengkaji dalam bidang coding dan robotik bertanggungjawab mencari pembaharuan teknologi dan menambahbaik teknologi sedia ada pada zaman akan datang. Mereka melakukan kajian, mencipta algoritma-algoritma baru, bereksperimen dengan teknologi yang baru muncul, dan menyumbang kepada kemajuan teknologi dalam bidang masing-masing.
Senarai di atas merupakan hanya sebahagian daripada puluhan peluang kerjaya dalam coding dan robotik yang bakal lahir pada masa hadapan. Oleh kerana bidang ini dilihat dinamik dan sentiasa berkembang, masyarakat harus lebih cakna dengan perkembangan teknologi terkini bagi memanfaatkan setiap peluang yang ada dan mendidik generasi seterusnya untuk lebih bersedia.