fbpx

Cart

Kepesatan teknologi digital telah membawa arus perubahan dalam pelbagai bidang dan pekerjaan. Antara yang menarik untuk diperkatakan ialah bidang seni lukis yang sinonim dengan kerja tangan yang halus dan teliti, kini boleh dihasilkan secara digital menerusi aplikasi komputer atau peranti mudah alih. Kedua-dua medium penghasilan seni ini mempunyai kelebihan masing-masing. Namun, terdapat beberapa kelebihan seni digital yang menarik untuk dikongsikan. Antaranya; 

1.Versatille atau Serba boleh

Seni digital menawarkan pelbagai pilihan bahan dan peralatan yang tiada had. Artis tidak perlu lagi gusar berhadapan masalah kehabisan bahan, limitasi warna atau mengendalikan proses perincian yang leceh dan sukar. Selain itu, aplikasi digital menawarkan lebih banyak fungsi canggih seperti kesan-kesan khas dan teknik suntingan automatik yang membolehkan artis untuk bereksperimen dan meneroka pelbagai gaya dan teknik seni.

2.Kecekapan dan Produktiviti

Dalam konteks kecekapan dan penjimatan masa, seni digital ternyata lebih menonjol berbanding seni tradisional. Sebagai contoh, proses mewarna sesuatu karya yang boleh memakan masa berhari-hari, hanya memerlukan satu klik pada butang dalam aplikasi digital. Tidak terhad dengan itu, kerja-kerja yang memerlukan kecekapan dan ketelitian yang tinggi seperti membuat garisan atau bentuk yang tepat juga lebih mudah secara digital kerana terdapat fungsi yang khusus untuk melakukannya dalam sekali langkah sahaja. Selain itu, seni digital juga membolehkan artis untuk berpatah balik, mengulang, menukar dan menyunting proses dengan cepat.

3.Kebolehcapaian dan mampu milik

Dengan seni digital, artis tidak perlu lagi berhabis wang ringgit untuk membeli peralatan seni yang mahal seperti cat warna, berus dan kanvas. Penggunaan aplikasi digital yang boleh dimuat turun ke dalam telefon dan peranti pintar kini membolehkan artis menghasilkan karya mereka tanpa pelaburan dan belanja besar. Tambahan lagi, hasil karya digital lebih mudah dikongsikan ke peringkat global secara dalam talian dan meningkatkan peluang kerjaya seni seseorang artis.

4.Jimat Ruang

Berkarya dalam aplikasi digital memansuhkan penggunaan peralatan fizikal seperti kertas, berus dan segala macam cat warna, sekaligus melenyapkan keperluan penyimpanan bahan-bahan ini yang selalunya memerlukan ruang yang besar. Selain itu, rata-rata aplikasi digital menawarkan galeri tersendiri untuk menyimpan ribuan karya artis. Justeru, mereka tidak lagi perlu gusar mencari tempat simpanan fizikal yang mengundang risiko lain seperti kerosakan dan kehilangan.

5.Daya pengeluaran tinggi

Karya seni digital boleh disalin dan dikongsi jutaan kali dalam pelbagai format tanpa mengurangkan kualiti karya yang asal. Para karyawan boleh mempelbagaikan fungsi karya mereka seperti mencetaknya dengan resolusi tinggi, memperagakannya di dalam laman web atau sosial media, malah menghasilkan animasi daripada karya mereka. Selain itu, pengedaran karya digital tidak terhad kepada kaedah fizikal yang memerlukan kos pengangkutan dan galeri-galeri pameran kerana mereka boleh menjualnya dalam bentuk digital ke mana-mana sahaja tempat di dunia.  Kemudahan ini memberi peluang kepada artis untuk menjual lebih banyak salinan karya mereka tanpa menggunakan tenaga dan kos kerja yang banyak.

5.Mesra Alam

Berbeza dengan seni tradisional, seni digital tidak melibatkan banyak penggunaan sumber alam seperti yang terdapat dalam setiap peralatan mewarna dan kertas-kertas lukisan. Penggunaan 100% asset digital mengurangkan keperluan pemprosesan, pengangkutan dan penyimpanan bahan yang banyak menggunakan bahan semula jadi, pencemaran alam, dan pembebasan karbon ke dalam alam sekitar. Justeru, aplikasi digital sebenarnya menggalakkan artis untuk menyumbang kepada kesejahteraan alam sekitar.

Secara rumusannya, aplikasi digital mempunyai banyak manfaatnya terutama sekali dalam memudahkan dan mempercepatkan sesuatu proses artistik, sekaligus meningkatkan kecekapan dan daya pengeluaran sesuatu produk. 

 

Leave a Reply