Tidak minat kepada subjek matematik bukan satu isu yang besar dan ganjil. Sememangnya, setiap individu mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing, serta mempunyai kegemaran yang berbeza-beza. Namun sebahagian ibu bapa mungkin tertanya-tanya sekiranya subjek matematik ini begitu penting untuk dikuasai, dan memadaikah untuk anak-anak mereka menguasai subjek-subjek lain tanpa perlu mengambil kira subjek matematik. Di sini, kami senaraikan beberapa kepentingan matematik untuk anda nilaikan sendiri. Antaranya;
1.Kemahiran Penyelasaian Masalah
Di sebalik segala nombor dan konsep pengiraan, subjek matematik sebenarnya mengasah pemikiran kritikal dan kebolehan menyelesaikan masalah. Ia mendidik pelajar untuk menganalisis keadaan, menentukan pola, dan mengaplikasikan hubungan logik untuk mencari penyelesaian. Kemahiran ini sangat penting bukan sahaja dalam bidang berkaitan matematik, malah berguna dalam pelbagai aspek kehidupan.
2. Penilaian Kuantiti
Adakah harga kelas ini berbaloi? Berapa ramai orang yang akan terkesan dengan banjir di kawasan ini? Perlukah saya bimbang dengan kandungan arsenik dalam nasi ini? Semua persoalan ini memerlukan kemahiran penilaian kuantitatif atau terma inggerisnya ‘Quantitative Reasoning’. Kemahiran matematik ini dapat dibentuk melalui pemahaman dan pentafsiran data nombor yang membantu kita menilai kewajaran sesuatu data, statistik dan ukuran, seterusnya membolehkan kita membuat keputusan dan penilaian dalam pelbagai situasi.
3. Peluang Kerjaya
Penguasaan dalam subjek matematik membuka lebih banyak pintu kepada pasaran kerjaya masa hadapan. Banyak bidang yang berpotensi besar pada masa hadapan seperti sains, teknologi, kejuruteraan, kewangan, ekonomi dan pengaturcaraan komputer bergantung kepada kemahiran matematik. Justeru, mempunyai pengetahuan dan kemahiran matematik yang luas mampu meningkatkan peluang untuk berjaya pada masa hadapan.
4.Meningkatkan Kepintaran dan Kecerdasan Mental
Pembelajaran matematik kebiasaannya menggunakan fungsi otak secara optimum melalui proses pemikiran kritikal dan logik. Proses ini memastikan otak kita kekal aktif dan cerdas sehingga mampu meningkatkan kepintaran atau keupayaan otak untuk memproses maklumat dan menyimpan memori. Pemikiran yang pintar dan cerdas sangat berguna dalam penyelesaian masalah, membuat keputusan dan perkembangan intelektual secara keseluruhan.
5. Kemahiran Praktikal
Pembelajaran dan penggunaan matematik tidak terhad di dalam kelas dan bidang-bidang kerjaya yang spesifik. Malah, kita banyak menggunakannya dalam kehidupan seharian dari sekecil-kecil membayar harga sebungkus nasi lemak, sehingga urusan yang lebih kompleks seperti menyukat isipadu bahan masakan, mentafsir graf dan data serta mengira jarak perjalanan. Penguasaan dalam matematik melengkapkan anak-anak dengan kemahiran praktikal yang mereka dapat aplikasikan dalam pelbagai situasi sepanjang kehidupan mereka.
Kesimpulannya, matematik bukan sahaja satu subjek yang penting, malah ia merupakan keperluan yang sangat berguna dalam kehidupan seharian dan masa hadapan. Asahlah minat anak-anak anda dalam subjek matematik supaya mereka sedar akan kepentingannya dan dapat mempelajarinya dengan bersungguh-sungguh.