Seringkali ibu bapa inginkan yang terbaik untuk anak-anak mereka termasuk memberi pendidikan yang sempurna bagi menjadikan anak-anak ini insan yang berjaya. Oleh itu, sebahagian ibu bapa memilih untuk menghantar anak-anak ke tadika seawal usia 3 hingga 4 tahun untuk mendedahkan mereka kepada suasana pembelajaran di samping membentuk kemahiran sosial mereka. Malah, terdapat juga ibu bapa yang sudah mendaftarkan anak-anak prasekolah mereka ke dalam kelas pengayaan bagi mengisi jadual harian mereka. Persoalannya, perlukah kelas-kelas pengayaan ini khususnya untuk anak-anak kecil yang masih di bawah usia 6 tahun?
Sebelum mengupas lebih lanjut tentang tajuk ini, terlebih dahulu kita perlu mengenali apa yang dimaksudkan dengan kelas pengayaan. Kelas pengayaan atau terma inggerisnya ‘enrichment class’ merupakan kelas-kelas tambahan di luar waktu persekolahan yang memberi pengkhususan pada sesuatu subjek atau program contohnya kelas muzik, seni lukis, komputer dan sebagainya.
Sekiranya anda bercadang untuk mendaftarkan anak kecil anda di dalam program-program pengayaan tertentu, teruskan membaca artikel ini untuk mengetahui beberapa perkara yang anda perlu pertimbangkan sebelum membuat keputusan
1. Usia dan Tahap Perkembangan Anak
Umumnya, anak-anak prasekolah dalam lingkungan usia 3 hingga 6 tahun mempunyai tahap perkembangan yang berbeza-beza. Sebahagian mereka sudah pandai bersosial dan berkomunikasi dengan baik, manakala sebahagian lagi mungkin masih belum dapat bertutur dengan lancar atau mengawal emosi. Jadi, ibu bapa perlu mempertimbangkan program yang bersesuaian dengan kemahiran anak-anak mereka. Pilihlah program yang memfokuskan pembelajaran sambil bermain dan menerapkan aktiviti sosial dalam struktur yang kurang formal atau santai.
2. Keperluan dan Minat Anak
Cari tahu minat anak-anak anda dan apa yang mereka perlukan untuk meningkatkan kemahiran penting mereka. Pilihlah program pengayaan yang selari dengan minat anak anda seperti seni lukis, muzik atau sukan supaya mereka seronok belajar di samping dapat mengasah kemahiran mereka. Sekiranya anda mahukan anak anda mengikuti kelas pengayaan yang penting seperti kelas mengaji, berenang atau seni mempertahankan diri, pilihlah kelas-kelas yang direka khas untuk anak-anak prasekolah dari segi kesesuaian tenaga pengajar dan struktur kelasnya.
3. Pengisian Jadual
Isi dan padatkan jadual anak anda dengan aktiviti-aktiviti yang bermanfaat untuk usianya. Sekiranya tadika yang dihadiri anak anda telah menyediakan pelbagai program berkualiti yang melibatkan kelas-kelas pengayaan yang membantu anak anda, anda mungkin tidak memerlukan kelas-kelas tambahan lain di luar waktu persekolahannya. Sebaliknya, jika tadika anak anda tidak menawarkan program-program berkenaan atau program sedia ada tidak mencukupi untuk keperluan khusus anak anda, kelas pengayaan boleh menjadi pilihan yang bagus.
4. Kewangan
Program pengayaan pastinya memerlukan bajet tambahan yang merangkumi yuran kelas, kos pengangkutan, bahan pembelajaran dan kos-kos lain. Pertimbangkan bajet dan situasi kewangan anda untuk memilih kelas pengayaan yang bersesuaian dengan anak-anak anda. Sekiranya anda mempunyai bajet lebih, anda boleh saja memilih pusat perkembangan minda atau institusi khas yang menyediakan pelbagai kelas pengayaan yang berkualiti. Jika sebaliknya, anda masih boleh mencari kelas-kelas kecil yang dianjurkan oleh komuniti dalam kejiranan anda.
5. Budaya dan Nilai Kekeluargaan
Sebahagian keluarga mungkin lebih mengutamakan masa bersama, membuat aktiviti khusus bersama atau membiarkan anak-anak mereka bermain dan membuat aktiviti bebas. Manakala sebahagian keluarga lain mungkin lebih mementingkan pembelajaran menyeluruh dan mempunyai tradisi khusus yang mewajibkan anak-anak untuk mempelajari kemahiran tertentu. Pastikan keperluan anak anda seiring dengan keperluan dan budaya keluarga anda.
Kesimpulannya, keperluan dan kesesuaian kelas pengayaan untuk anak prasekolah bergantung kepada banyak faktor yang berbeza bagi setiap individu seperti tahap perkembangan anak, minat dan keperluannya, kepadatan jadual, situasi kewangan dan juga tradisi keluarga. Buatlah pertimbangan yang terbaik untuk anak anda bagi memastikan dia dapat membesar dengan emosi, minda dan fizikal yang sihat dan sedia untuk masa hadapan.