Anda mempunyai anak yang bakal melangkah ke darjah 1? Bagaimana dengan persediaan anak anda dari segi mental, emosi, dan kemahirannya? Di sini, kami senaraikan beberapa tips untuk membantu ibu bapa mempersiapkan anak-anak yang akan menempuh fasa persekolahan yang baru supaya mereka lebih yakin dan bersedia. Antaranya;
1. Pupuk minat belajar
Suasana pembelajaran di sekolah mungkin sedikit berlainan berbanding pembelajaran tidak formal di rumah di mana pelajar perlu duduk dan menumpukan perhatian kepada sesuatu subjek dalam jangka masa yang lama. Jika anak-anak kurang berminat, mungkin mereka akan jadi kurang selesa atau gagal untuk fokus di dalam kelas nanti. Jadi, ibu bapa boleh melatih minat anak untuk belajar sedari awal seperti memperkenalkan mereka dengan buku-buku bacaan, permainan video pendidikan dan alat permainan yang boleh meningkatkan rasa ingin tahu dan pemikiran kritikal anak-anak.
Gambar: Biasakan anak-anak untuk duduk dan meluangkan masa sekurang-kurangnya 15 minit dalam satu-satu aktiviti bagi melatih fokus dan membiasakan mereka dengan suasana pembelajaran formal.
2. Asah kemahiran sosial
Pendidikan formal di sekolah umumnya melibatkan pembelajaran berkumpulan dan seringkali melibatkan kolaborasi sesama pelajar. Jadi, ibu bapa perlu memastikan anak-anak mereka yang ingin melangkah ke alam persekolahan sudah mempunyai asas kemahiran sosial atau sekurang-kurangnya boleh menerima persekitaran baru. Latihlah kemahiran sosial anak-anak sejak kecil dengan menggalakkan mereka bermain dan berinteraksi bersama ahli keluarga atau jiran tetangga yang seusia dengan mereka.
Gambar: Anak-anak yang membesar dengan dikelilingi kumpulan sosial yang lebih besar mempunyai kemahiran komunikasi yang lebih baik dan mudah bergaul dengan kenalan baru.
3. Menubuhkan rutin
Rutin persekolahan yang padat dan panjang pasti meletihkan anak-anak apatah lagi jika anak-anak sudah terbiasa dengan rutin harian yang longgar dan tiada ketetapan. Pastikan ibu bapa melatih anak-anak untuk menyesuaikan diri dengan rutin persekolahan ini sekurang-kurangnya beberapa minggu sebelum persekolahan bermula. Selaraskan rutin yang sama setiap hari seperti jadual tidur dan bangun pada waktu pagi, membuat kerja sekolah, waktu makan dan bermain.
Gambar: Sesuaikan waktu makan dan tidur anak-anak dengan jadual persekolahan mereka supaya mereka tidak janggal dan keletihan sebaik sahaja sesi persekolahan bermula.
4. Berdikari
Melangkah ke darjah satu bermaksud tiada lagi ibu bapa yang datang membantu. Guru-guru di sekolah juga tidak boleh disandarkan tanggungjawab untuk menjaga keperluan setiap pelajar khususnya di luar skop pembelajaran. Jadi, siapkan anak-anak untuk berdiri di atas kaki mereka sendiri seperti mengajar mereka berpakaian, menggunakan tandas, dan mengemas beg sekolah tanpa bantuan. Mereka mungkin nampak kecil di mata anda, tapi percayalah, mereka cukup bersedia untuk berdikari!
Gambar: Pilihlah pakaian dan kelengkapan yang mesra kanak-kanak seperti kasut dan tali leher berpelekat bagi melatih anak-anak berdikari.
5. Perkenalkan konsep ‘sekolah’
Gunakanlah penerangan yang betul untuk memperkenalkan sekolah kepada anak anda bagi membentuk gambaran awal yang realistik. Ibu bapa boleh menyebut perkara-perkara yang positif seperti kawan baru yang ramai, guru yang baik, boleh membeli makanan sendiri dan lain-lain. Ajar juga peraturan-peraturan asas sekolah seperti duduk diam semasa guru mengajar, tidak merayau-rayau di kawasan sekolah dan memastikan pakaian sentiasa bersih dan lengkap. Setidak-tidaknya, anak-anak sudah bersedia dan tidak terlalu terkejut dengan suasana pendidikan formal yang berbeza dengan pengalaman sebelumnya.
Gambar sekadar hiasan
6. Didik kemahiran asas
Selaras dengan keperluan pendidikan generasi kini yang lebih maju ke hadapan, pelajar yang bakal melangkah ke darjah 1 diharapkan sudah mempunyai asas membaca, menulis dan mengira. Kebiasaannya, asas-asas ini sudah diterapkan dalam silibus pembelajaran prasekolah. Namun, sebahagian anak-anak mungkin masih mengalami sedikit kesukaran untuk menguasai ketiga-tiga kemahiran berkenaan. Justeru, ibu bapa perlu cakna tentang kemahiran anak-anak supaya dapat membuat tindakan awal sekiranya mereka memerlukan bantuan. Bimbang nanti anak-anak yang bermasalah ini akan keciciran lebih jauh di peringkat sekolah rendah.
Kesimpulannya, fasa peralihan daripada prasekolah ke darjah satu mungkin menjadi satu kebimbangan dan mendebarkan buat anak-anak dan ibu bapa. Namun, dengan persediaan yang rapi seperti yang disenaraikan di atas, ibu bapa boleh membantu anak-anak untuk tampil lebih yakin dan berani bagi memasuki alam persekolahan yang baru.
Jangan risau, anak-anak anda sebenarnya lebih bijak menyesuaikan diri dari apa yang anda sangkakan!