fbpx

Cart

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pusat tuisyen di Malaysia tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Mana tidaknya, keperluan akademik anak-anak pada hari ini semakin mencabar dengan silibus yang lebih padat dan ke depan. Pembelajaran di dalam kelas sahaja tidak cukup untuk menjamin penguasaan dalam sesuatu mata pelajaran. Jadi, sebahagian besar ibu bapa mula mendaftarkan anak-anak ke dalam kelas tambahan untuk meningkatkan prestasi mereka. 

Bagi membantu ibu bapa membuat pilihan, di sini kami senaraikan beberapa tips penting untuk memilih kelas tambahan terbaik untuk anak-anak.

1. Ketahui keperluan anak

Sebelum mendaftarkan anak di pusat tuisyen terbaik di kejiranan anda, fahami dahulu apa kekuatan dan kelemahan sebenar anak anda. Perkara ini dapat membantu anda untuk menyaring puluhan kelas tambahan di luar sana, dan memilih kelas tambahan yang betul-betul diperlukan oleh anak anda.

Gambar: Setiap kanak-kanak mempunyai kelebihan masing-masing. Luangkan masa dengan anak-anak untuk mengetahui kecenderungan dan masalah yang mereka hadapi.

2. Mendapatkan saranan komuniti

Anda juga boleh mendapatkan saranan dan pendapat daripada ibu bapa yang lain, guru-guru atau ahli penasihat akademik mengenai kelas tambahan terbaik untuk anak anda. Cuba dapatkan testimoni daripada pelanggan-pelanggan pusat tuisyen pilihan untuk mengetahui maklumat-maklumat terperinci yang tidak dikongsikan secara terbuka. Saranan dari mulut-ke-mulut kadangkala sangat membantu untuk menapis pusat tuisyen yang bagus atau yang bermasalah.

Gambar: Atur perjumpaan bersama sekumpulan ibu bapa yang berdepan situasi yang sama dengan guru atau ahli akademik yang anda percayai.

3. Buat carian dalam talian

Kaedah paling mudah dan cepat pada masa kini iaitu carian dalam talian juga dapat memberi anda senarai pendek kelas tambahan dalam masa yang singkat tanpa perlu ke mana-mana. Biasanya melalui maklumat yang diberikan, anda boleh terus mendapatkan lokasi, jadual operasi, pilihan program, dan juga membaca ulasan daripada pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka.Gunakan masa yang telah anda jimatkan untuk membuat sedikit perbandingan dan semakan maklumat untuk membantu anda membuat pilihan.

Gambar: Carian dalam talian ialah kaedah yang paling mudah dan sesuai dilakukan pada peringkat awal untuk membuat senarai kelas-kelas tambahan yang ada.

4. Semak kelayakan guru

Selain daripada melihat prestasi pusat tuisyen dan kelas tambahan yang ditawarkan, penting juga untuk ibu bapa selidiki dahulu kelayakan guru-guru yang mengajar. Pastikan guru-guru ini mempunyai pengalaman dan kepakaran mengajar subjek yang berkenaan. Ibu bapa khususnya yang mempunyai anak yang bermasalah boleh menemu bual pengurus atau guru tersebut untuk mengetahui cara pengendalian kelas dengan lebih lanjut.

Gambar: Selain menyemak sijil kelayakan guru, ibu bapa boleh meminta kelas percubaan untuk melihat sendiri cara pengendalian guru terbabit.

5. Lawati sendiri lokasi

Pastikan ibu bapa berkunjung sendiri ke lokasi untuk meninjau keadaan dan saiz kelas, kaedah pembelajaran dan keseluruhan fasiliti yang disediakan di pusat tuisyen berkenaan. Lokasi dan persekitaran pusat tuisyen memainkan peranan penting dalam menjamin keselesaan dan keselamatan anak-anak, selain membantu ibu bapa mengatur perjalanan pergi dan balik dalam jangka waktu yang panjang.

Gambar: Ambil kira jarak antara lokasi ke rumah atau pejabat anda untuk kemudahan pengangkutan dan kes-kes kecemasan.

5. Bandingkan harga

Setelah mendapatkan senarai pendek kelas-kelas tambahan yang paling sesuai untuk anak anda, jangan lupa untuk membandingkan harganya pula. Pastikan harga yang dikenakan berbaloi dan bertepatan dengan kualiti dan fasiliti yang ditawarkan. Ingat, tak semestinya kelas tambahan yang mahal menjanjikan servis yang terbaik!

Gambar: Pastikan anda menyemak senarai sebut harga dan caj-caj yang dikenakan sebelum membuat pembayaran.

5. Kesesuaian jadual

Pilihlah kelas tambahan yang menawarkan jadual fleksibel yang boleh disesuaikan ke dalam rutin anak anda tanpa membebankan jadual sedia ada. Ambil kira juga jadual anda dan pasangan yang akan membantu menghantar dan mengambilnya pulang supaya tidak menimbulkan masalah logistik kelak. Dapatkan pengesahan tentang prosedur yang dikenakan sekiranya anak anda tidak dapat hadir disebabkan situasi yang tidak dapat dielakkan.

Gambar: Sebahagian ibu bapa atau anak-anak mungkin mempunyai jadual yang padat atau kerap berubah. Bincangkan hal ini dengan pengurus pusat tuisyen untuk mendapatkan jadual waktu yang lebih fleksibel.

Secara keseluruhannya, kelas tambahan yang baik pasti membuatkan anak anda seronok dan ternanti-nanti untuk kelas yang seterusnya. Luangkan sedikit masa untuk berkomunikasi tentang minat dan kebimbangan anak anda, dapatkan saranan komuniti yang anda percayai, lakukan sedikit penyelidikan dan buatlah pertimbangan yang sewajarnya. 

Leave a Reply