Topik pendaraban merupakan antara topik asas subjek matematik yang mula diperkenalkan sejak tahun 1 lagi. Antara kaedah tradisional bagi mempelajari topik ini ialah menggunakan jadual sifir yang memerlukan pelajar untuk membaca dan menghafal sekurang-kurangnya 12 nombor pertama. Menggunakan jadual sifir ini mungkin agak sukar pada mulanya. Jadi, di sini kami ingin memberi beberapa tips untuk menjadikan proses pembelajaran ini lebih mudah dan pantas. Antaranya;
1. Mulakan dengan nombor-nombor kecil.
Pelajar boleh menghafal jadual sifir bagi nombor-nombor yang lebih kecil seperti 1 hingga 5 terlebih dahulu. Nombor-nombor ini lebih mudah diingat dan digambarkan di dalam minda kerana kumpulannya lebih kecil. Menghafal sifir-sifir kecil ini juga boleh membantu proses hafalan sifir yang lebih besar kemudian.
Gambar: Sifir bagi nombor kecil lebih mudah dikira secara pantas dan digambarkan dalam minda.
2. Latihan konsisten.
Secara umumnya, setiap latihan yang dilakukan dengan konsisten, tanpa mengira subjek, berupaya menguatkan dan memanjangkan ingatan. Peruntukkan beberapa minit setiap hari untuk melatih diri membaca dan menghafal sifir. Selain menggunakan latihan hafalan, pelajar juga boleh menulis menggunakan pen warna berlainan atau mendengar lagu sifir. Gunakan juga kaedah interaktif seperti kad imbas atau permainan video matematik untuk menjadikan pembelajaran lebih menarik.
Gambar: Gabungkan kaedah hands-on dalam latihan untuk menambah keseronokan belajar dan meningkatkan konsentrasi.
3. Hubungkan dengan persekitaran.
Praktikkan sifir dalam kehidupan seharian dengan menghubungkan gandaan-gandaan nombor ini dalam urusan pengiraan wang, menyukat isipadu masakan, atau sekadar membilang petak jubin di lantai. Aktiviti-aktiviti ini kadangkala lebih menyeronokkan dan memberi lebih makna untuk anak-anak mempelajari sifir kerana fungsinya dalam kehidupan seharian.
Gambar: Aktiviti melipat baju juga boleh menjadi praktikal sifir untuk anak-anak dengan membilang baju secara gandaan 2, 3 dan selanjutnya.
4. Gunakan sumber pembelajaran atas talian.
Selain buku-buku dan alatan pembelajaran fizikal, pelajar juga boleh memanfaatkan alat bantu belajar atas talian yang dapat membantu mereka menguasai sifir. Laman web pendidikan seperti Khan Academy dan Math Playground mempunyai pelbagai permainan interaktif dan video tutorial yang dapat membantu pembelajaran sifir menjadi lebih mudah dan menyeronokkan.
Gambar: Sebahagian kanak-kanak mungkin memerlukan rangsangan berbeza untuk membantu ingatan mereka seperti lagu dan visual yang bergerak seperti animasi.
5. Gunakan formula hafalan.
Menghafal satu susunan fakta boleh menjadi lebih mudah dengan menggunakan formula. Contohnya seperti formula yang selalu kita gunakan untuk menghafal susunan warna pelangi atau nama planet. Sifir juga boleh menggunakan kaedah yang sama seperti “I ate and I ate and I got sick on the floor” untuk mengingati 8 x 8 = 64. Pelajar boleh menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan formula khas bagi padanan nombor-nombor lain yang sukar diingati.
Gambar: Gunakan kreativiti untuk mengingati sebahagian sifir yang sukar dengan menggunakan formula yang lucu atau berkaitan dengan subjek kegemaran.
Kesimpulannya, pelajar boleh menarik nafas lega kerana mereka boleh menguasai sifir dengan pelbagai teknik yang lebih mudah, cepat dan menyeronokkan. Apa pun kaedah yang digunakan, pastikan dilakukan dengan sabar dan konsisten. Paling penting, jangan takut untuk bertanya jika menghadapi masalah.