Matematik merupakan subjek penting yang kita aplikasikan dalam kehidupan seharian tak kira apa pun pekerjaan yang kita lakukan. Daripada sekecil-kecil mengira buah-buahan, hingga mengira jarak dan tempoh perjalananan ke matahari, semuanya memerlukan pengetahuan matematik. Walaupun begitu, terdapat sebahagian individu yang merasakan matematik terlalu sukar buat mereka. Bagi mengetahui cara paling efektif untuk membantu golongan ini, terlebih dahulu kita perlu tahu faktor-faktor yang menyumbang kepada masalah tersebut;
1. Gaya pembelajaran.
Secara psikologinya, setiap manusia mempunyai cara pembelajaran yang berbeza. Ada beberapa jenis gaya pembelajaran manusia iaitu visual, audio, dan kinestetik.
Gambar 1
Individu kinestetik yang cenderung kepada rangsangan fizikal seperti latih tubi dan alatan matematik mungkin mengalami kesukaran untuk mengingati nombor dan simbol asas matematik manakala individu audiotari yang bersandar pada pendengaran mereka pula bermasalah dalam memahami sebahagian fungsi matematik yang sukar diterjemahkan secara lisan.
Gambar 2: Pembelajaran matematik yang baik dan menyeluruh sepatutnya menggabungkan tiga kaedah iaitu konkrit (Concrete), bergambar (pictorial), dan abstrak untuk menyokong keperluan semua jenis pembelajaran.
2. Kurang pengetahuan asas.
Matematik merupakan satu subjek yang bergantung kepada pemahaman asas nombor dan pelbagai konsep lain seperti tambah tolak, darab bahagi, dan banyak lagi. Jika pelajar menghadapi masalah untuk memahami konsep-konsep asas ini, mereka akan mengalami lebih kesukaran untuk mempelajari topik selanjutnya yang lebih rumit.
Gambar 3: Asas kemahiran matematik seperti rupa dan nilai nombor sangat penting untuk menghubungkan pengetahuan selanjutnya. Ambil cakna kemahiran anak anda sejak awal usia untuk menyokong perkembangannya.
3. Tekanan dan kebimbangan.
Subjek matematik umumnya melibatkan penyelesaian masalah melibatkan nombor yang memerlukan fokus dan ketelitian. Justeru, individu yang mudah merasa tertekan dan bimbang disebabkan faktor-faktor luaran atau subjek matematik itu sendiri mungkin akan mengalami kesukaran untuk memberi tumpuan.
Gambar 4: Ambil berat keadaan psikologi dan perasaan anak anda supaya mereka bebas tekanan dan kekal optimis dalam mempelajari subjek mencabar seperti matematik.
4. Kurang latihan.
Berlainan dengan subjek teori yang bergantung kepada teknik pemahaman dan hafalan, matematik hanya boleh dikuasai menerusi latihan yang banyak. Jika pelajar tidak mempraktikkan topik yang baru mereka pelajari, mereka akan mengalami kesukaran untuk memahami dan mengingati konsep matematik tersebut.
Gambar 5: Latih tubi matematik mempunyai hubung kait dengan memori motor (pergerakan) yang mampu meningkatkan daya ingatan.
5. Ketidakupayaan pembelajaran.
Sebahagian ketidakupayaan mental individu seperti dyscalculia boleh menyukarkan mereka untuk mempelajari subjek matematik. Ketidakupayaan ini mengakibatkan individu gagal memproses maklumat berkaitan nombor sebagaimana normal. Kebanyakan individu dengan gejala ini berjaya dikesan pada peringkat awal melalui ketidakupayaan mereka untuk membezakan nombor dan nilainya.
Gambar 6: Penghidap dyscalculia mungkin mengalami kesukaran dalam mempelajari matematik, namun kebanyakan mereka cemerlang dalam kemahiran lain.
Kesimpulannya, matematik merupakan satu subjek mencabar yang memerlukan usaha dan praktis untuk dikuasai. Namun, dengan teknik dan pendekatan yang betul, setiap individu mampu menguasainya dengan baik. Ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam memantau penguasaan asas matematik anak-anak di samping menyediakan suasana yang positif untuk pembelajaran mereka.