Perubahan ekonomi, teknologi dan sosial yang sentiasa berubah membuatkan kita sukar meramalkan apa yang bakal terjadi pada masa hadapan khususnya pasaran kerjaya untuk generasi kecil kita. Namun begitu, kita sebenarnya boleh melihat pola peningkatan dan potensi dalam beberapa bidang berikutan kemunculan trend dan industri-industri baru dalam beberapa tahun kebelakangan ini. Berdasarkan pemerhatian ini juga, kita dapat menjangkakan beberapa kerjaya yang bakal mendapat permintaan tinggi pada masa hadapan. Antaranya
1. Kejuteraan Kepintaran Buatan (Artificial Intelligence-AI )
Teknologi kepintaran buatan telah mula memasuki pasaran pengguna sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Fungsinya yang memudahkan pengguna mampu menghapuskan sebahagian tugasan yang leceh dan sukar malah dikatakan berupaya menggantikan tenaga manusia. Melihat pada kemampuannya untuk meningkatkan kecekapan dan kepantasan sesuatu tugasan, dijangkakan lebih banyak industri yang akan menerapkan penggunaan teknologi AI pada masa hadapan. Justeru, permintaan untuk pakar-pakar pengaturcaraan komputer khususnya bagi teknologi AI dan pembelajaran mesin (machine learning) dijangka akan meningkat.
2. Kejuteraan Realiti Pengantara (Augmented Reality A-R)
Realiti Pengantara atau Augmented Reality (AR) merupakan penggunaan objek komputer yang berinteraksi dengan dunia dan objek sebenar, membuatkannya nampak benar-benar wujud di hadapan mata. Teknologi ini sebenarnya telah lama diperkenalkan namun belum digunakan secara meluas kerana kos pembuatannya yang tinggi selain kekurangan tenaga pakar. Melihatkan keberkesanannya dalam menyampaikan maklumat, diramalkan bidang AR akan berkembang pesat di masa hadapan dengan kelahiran lebih banyak jurutera dan pakar dalam bidang ini.
3. Kejuteraan Robotik
Penggunaan robot pada masa hadapan akan lebih meluas dalam masyarakat khususnya dalam membantu menyelesaikan tugasan-tugasan remeh di premis komersial dan peribadi. Justeru industri pembuatan robot dijangka akan membuka lebih banyak peluang kepada jurutera-jurutera yang mempunyai kepakaran dalam bidang sains komputer dan kejuruteraan mesin.
4. Anggota Keselamatan Maya
Seiring dengan kemajuan dan kecekapan teknologi digital, lebih banyak pengusaha syarikat, perniagaan malah individu yang bergantung kepada teknologi maya untuk operasi harian mereka. Justeru, terdapat banyak data-data peribadi dan maklumat perbankan yang disimpan dan dikongsi secara dalam talian yang memerlukan perlindungan. Oleh itu, permintaan untuk profesional-profesional dalam bidang keselamatan maya dijangka akan meningkat bagi melindungi pengguna komputer, telefon pintar, sistem elektronik, jaringan dan data digital daripada gangguan dan ancaman siber.
5. Petugas Kesihatan
Dengan peningkatan populasi dunia saban tahun ditambah lagi dengan penularan penyakit dan wabak yang diramalkan lebih parah akibat gaya pemakanan, tekanan hidup, dan kesihatan mental, permintaan kepada servis kesihatan diramalkan meningkat. Justeru, bidang kerjaya seperti jururawat, pembantu doktor, doktor terapi fizikal dan psikologi adalah antara kerjaya yang berpotensi mendapat permintaan dan keperluan yang tinggi pada masa hadapan.
6. Kejuteraan Sumber Manusia boleh Diperbaharui
Pada masa hadapan, diramalkan sumber tenaga-yang-tidak-boleh-diperbaharui seperti gas, minyak, nuklear dan batu arang akan kehabisan disebabkan populasi yang semakin meningkat. Justeru, penduduk dunia perlu beralih kepada penggunaan tenaga-yang-boleh-diperbaharui seperti tenaga solar dan tenaga angin untuk menjana elektrik bagi meneruskan kehidupan seharian. Oleh itu, permintaan untuk jurutera dan juruteknik yang pakar dalam bidang ini bakal meningkat bagi mencipta infrastruktur berteknologi baru dan juga membaik pulih infrastruktur yang sedia ada.
7. Pakar Pertanian Moden
Pembangunan yang pesat disebabkan populasi dunia yang semakin meningkat bakal melupuskan sebahagian kawasan perhutanan dan perladangan yang penting untuk menjana sumber makanan. Pada masa yang sama, populasi penduduk bandar dan masyarakat urban yang semakin meningkat juga memerlukan produksi dan pengagihan sumber makanan mentah yang menelan kos yang tinggi. Masalah ini boleh ditangani melalui pertanian moden (urban farming) di mana masyarakat bandar perlu belajar menanam sayur-sayuran di dalam dan persekitaran rumah. Justeru, mereka memerlukan pakar-pakar pertanian moden untuk mengkaji, menambahbaik dan mencipta alatan dan bahan pertanian yang bersesuaian pada masa hadapan.
8. Penganalisis Iklim
Dunia pada masa hadapan akan mengalami krisis cuaca dan iklim yang semakin buruk, hasil kegiatan industri, penebangan hutan dan pemanasan global. Dijangkakan ais di kutub utara akan mencair dan meninggikan paras air laut, menenggelamkan sebahagian daratan dan memupuskan habitat flora dan fauna di sekitarnya. Selain itu, kandungan oksigen juga akan semakin menipis berikutan penebangan hutan dan pencemaran alam. Oleh itu, dunia akan memerlukan lebih banyak penganalisis iklim yang mempunyai kepakaran dalam sains alam sekitar, polisi dan kelestarian alam semulajadi bagi membendung dan menangani krisis-krisis iklim terbabit.
Kesimpulannya, kerjaya-kerjaya yang disenaraikan di atas sebenarnya cuma sebahagian daripada bidang-bidang yang bakal mendapat permintaan tinggi selain terdapat banyak lagi faktor dan pembolehubah yang mampu mengubah haluan masa hadapan. Namun anda dapat lihat keseluruhannya membabitkan bidang STEM iaitu Science, Technology, Engineering and Mathematics. Jadi, didiklah anak-anak dan pewaris generasi anda untuk menguasai bidang ini supaya mereka lebih bersedia untuk pasaran kerja di masa hadapan.