Adakah anda menghadapi masalah dalam pembelajaran kendiri di rumah? Jika anda seringkali kehilangan motivasi untuk belajar, terasa cepat letih dan mengantuk ketika membuat tugasan sekolah atau memerlukan bantuan untuk memahami sesuatu subjek, mungkin pembelajaran kendiri tidak sesuai untuk anda. Cubalah untuk bertukar kepada pembelajaran berkumpulan bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran anda. Sebenarnya, belajar secara berkumpulan mempunyai banyak manfaatnya, antaranya:
1. Meningkatkan Pemahaman
Dalam sesebuah kumpulan, setiap ahlinya pasti memiliki kelebihan dan kepakaran yang berbeza. Dengan belajar bersama-sama, setiap ahli dapat menggabungkan pengetahuan dan berkongsi buah fikiran dan pandangan mereka. Hal ini bukan sahaja dapat membantu meningkatkan pemahaman, malah memberi pendedahan kepada idea dan perspektif yang berbeza tentang sesuatu perkara. Selain itu, memberi tunjuk ajar kepada ahli kumpulan yang lain juga dapat meningkatkan pemahaman dan ingatan dalam sesuatu perkara.
2.Meningkatkan Kualiti Pembelajaran
Belajar secara berkumpulan juga dapat meningkatkan keberkesanan pembelajaran kerana ahli kumpulan dapat saling menyemak tugasan dan memberi maklum balas secara langsung. Anda tidak perlu menunggu lama untuk bertemu guru di sekolah atau menghabiskan masa bergelut untuk memahami dan menyelesaikan sesuatu tugasan sendirian.
Manfaat:
Pembelajaran menerusi gadget memberi peluang kepada anak-anak untuk memilih sendiri masa, tempat dan cara pembelajaran yang mereka mahukan. Mereka juga dapat belajar dalam rentak dan kelajuan mereka sendiri tanpa sebarang tekanan dan gangguan daripada luar. Pembelajaran bersifat peribadi dan eksklusif ini sesuai bagi anak-anak yang sensitif dengan persekitaran mereka atau perlukan perhatian khusus untuk mendalami sesebuah subjek.
3. Meningkatkan Motivasi
Belajar secara berkumpulan mampu membina hubungan yang akrab antara ahli kumpulan menerusi tujuan dan matlamat yang sama. Ibarat peribahasa bagai aur dengan tebing, setiap ahli kumpulan akan saling menyokong dan membantu antara satu sama lain bagi mencapai matlamat mereka. Tambahan pula, belajar bersama-sama memberi peluang untuk penglibatan aktif dan persaingan yang sihat sesama ahli kumpulan. Hasilnya, setiap ahli akan lebih bermotivasi dan bersemangat untuk belajar.
4. Meningkatkan Kemahiran Sosial
Belajar dalam kumpulan melibatkan banyak perbincangan, rundingan dan kepimpinan. Dengan kata lain, pembelajaran berkumpulan dapat meningkatkan kemahiran sosial dan komunikasi berbanding pembelajaran kendiri. Sudah tentu, kemahiran ini sangat penting dan berguna dalam kehidupan seharian dan tuntutan kerjaya di masa hadapan.
5. Membentuk Nilai dan Toleransi Bersama
Belajar bersama-sama secara berkumpulan mendidik anda untuk menghargai pendapat dan sudut pandangan yang berbeza. Anda juga akan belajar bagaimana memberi maklum balas dan kritikan yang membina melalui sesi perbincangan, serta belajar menerimanya dengan minda yang positif. Hal ini dapat meningkatkan nilai toleransi, keterbukaan, rasa hormat dan kerjasama antara anggota kumpulan.
6. Memperluas Rangkaian Sosial
Selain dapat lebih mengenali ahli kumpulan yang terdiri daripada rakan-rakan terdekat, belajar secara berkumpulan juga dapat memperkenalkan kita kepada ahli-ahli baru di luar kumpulan sosial yang biasa. Secara tidak langsung, kita dapat menambah kenalan baru dan memperluaskan lagi rangkaian sosial sedia ada. Rangkaian sosial yang luas sangat berguna pada masa hadapan dalam konteks peluang kerjaya mahupun kehidupan sosial.
Kesimpulannya, belajar secara berkumpulan mempunyai banyak manfaat khususnya dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan membina kemahiran sosial yang berguna untuk masa hadapan. Pilihlah ahli kumpulan yang dapat menyokong dan berkongsi matlamat dengan anda bagi memastikan pembelajaran yang berkesan dan menyeronokkan.