Matematik merupakan salah satu subjek asas yang penting dalam kurikulum sekolah. Tidak dapat dinafikan, segelintir pelajar khususnya generasi pasca covid-19 merasakan subjek ini mencabar tak kira di peringkat sekolah rendah mahupun menengah.
Justeru, para ibu bapa mengambil pendekatan untuk mendaftar anak-anak mereka yang ketinggalan dalam kelas matematik dalam talian. Meskipun sebahagian besar ibu bapa berpendapat kelas dalam talian membosankan dan menyukarkan anak-anak untuk fokus, di sini kami ingin memberi beberapa idea untuk menambah keseronokan belajar subjek matematik dalam talian;
1. Gunakan aplikasi matematik yang interaktif.
Terdapat pelbagai aplikasi dalam talian yang dapat membantu pelajar mempelajari konsep matematik dengan kaedah yang lebih mudah dan menyeronokkan. Contohnya, Desmos dan GeoGebra antaranya ialah dua aplikasi dalam talian percuma yang membenarkan pelajar melakar graf fungsi, merangka data, dan mempelajari geometri. Bagi pelajar prasekolah dan sekolah rendah yang baru ingin mengenal nombor dan fungsi asas matematik, mereka boleh menggunakan aplikasi kad imbas nombor (number flashcard), mengira bongkah (counting blocks) dan pengira lidi (counting sticks) dalam versi digital yang membuatkan pembelajaran lebih berkesan.
Gambar 1: Pelajar boleh meneroka pembelajaran hands-on secara digital melalui platform Alfa and Friends Centre.
2. Permainan video matematik.
Permainan video matematik bukan sahaja menyeronokkan, malah dapat membantu pelajar mempraktikkan kemahiran matematik dan penyelesaian masalah. Terdapat pelbagai jenis permainan matematik yang berlainan mengikut peringkat umur. Antara aplikasi permainan yang popular dalam talian ialah Math Playground, Cool Math Games, dan Prodigy Math Game.
Gambar 2: Salah satu permainan video matematik di platform Math Playground
3. Video Interaktif
Anak-anak anda suka menonton video hiburan? Ambil peluang ini untuk mendedahkan mereka pada saluran-saluran pendidikan yang mengetengahkan video-video pembelajaran. Contohnya, saluran Numberblocks dan Kids Academy di Youtube yang menyediakan video-video asas matematik dengan penerangan mudah dan menarik.
Gambar 3: Kids Academy Channel di Youtube mengetengahkan pelbagai video pendidikan tidak terhad pada subjek matematik sahaja.
4. Aktiviti berkumpulan
Pembelajaran dalam talian tidak bermaksud belajar berseorangan. Pelajar masih boleh membuat aktiviti bersama meskipun mereka berada di ruang berbeza. Sebagai contoh, guru boleh menganjurkan pertandingan matematik dalam talian untuk menarik minat anak-anak yang suka bersaing dan menggalakkan mereka bekerjasama menyelesaikan masalah. Salah satu platform yang sesuai untuk aktiviti ini ialah Mathletics yang merupakan penganjur terbesar pertandingan matematik dalam talian.
5. Aplikasikan dalam persekitaran
Meraih fokus pelajar untuk melihat skrin dalam tempoh masa yang lama sememangnya tugas yang sukar terutama sekali untuk anak kecil di bawah usia 7 tahun. Terlalu banyak rangsangan daripada persekitarannya seperti alat mainan, perbualan ahli keluarga, atau bunyi kerja-kerja memasak di dapur yang berpotensi untuk mengganggu konsentrasinya. Guru boleh memanipulasikan rangsangan ini untuk membantu pembelajaran matematik, contohnya dengan menggunakan alat mainan peribadinya untuk mengira, menimbang berat dan isipadu bahan untuk membantu ibu memasak, atau mengira wang belanja untuk perbelanjaan rumah.
Secara keseluruhannya, mempelajari matematik dalam talian memerlukan usaha dan kreativiti. Dengan menggabungkan semua kaedah di atas, pelajar dapat meningkatkan keseronokan belajar, sekaligus menambah minat mereka dalam subjek matematik.