Mempelajari matematik di dalam kelas dan membuat latih tubi sepanjang hari mungkin membosankan dan melelahkan anak-anak. Apa kata ibu bapa tukar kaedah pembelajaran yang statik dan formal ini kepada aktiviti yang lebih santai dan menyeronokkan. Di sini kami senaraikan 10 aktiviti menarik yang anda boleh lakukan bersama anak-anak untuk mempelajari konsep matematik;
1.Mencari Harta Karun
Seperti permainan mencari harta karun atau ‘treasure hunt’ yang biasa, anda boleh menyembunyikan objek atau konsep yang berkaitan matematik di sekeliling dan di dalam rumah. Sebagai contoh, anda boleh menggunakan nombor, bentuk, simbol, atau padanan soalan dengan jawapannya.
2. Permainan Papan Matematik
Ibu bapa boleh memilih permainan papan atau board games yang melibatkan pengiraan matematik seperti Snakes and Ladders, Monopoly dan congkak. Permainan-permainan ini sebahagian besarnya melibatkan proses mengenal nombor, mengira, dan merancang strategi.
3.Menyukat Bahan Masak
Beri peluang kepada anak-anak untuk turut serta dalam tugasan memasak dan membakar di dapur khususnya sewaktu mengira dan menyukat isipadu bahan. Melalui aktiviti ini, mereka dapat mempraktikkan konsep pecahan, ukuran dan pertukaran unit sambil menghasilkan sesuatu yang enak.
4.Seni Lukis
Anak-anak juga boleh menggabungkan matematik dengan seni dengan menghasilkan bentuk geometri, melukis corak grid dan mandala, atau membuat rekaan simetri. Malah, mereka juga boleh mencuba lukisan yang lebih kompleks seperti melukis anatomi manusia dan haiwan kerana subjek tersebut melibatkan ukuran dan nisbah matematik.
5.Buku Cerita Matematik
Terdapat pelbagai buku cerita yang mengajar konsep asas matematik di pasaran seperti ‘The Greedy Triangle’ atau ‘One Grain of Rice’ bagi anak-anak yang gemar membaca. Buku-buku seperti ini dapat memperkenalkan konsep matematik kepada anak-anak dengan pendekatan yang mudah, menarik dan menyeronokkan.
6.Teka-Teki
Terdapat pelbagai buku cerita yang mengajar konsep asas matematik di pasaran seperti ‘The Greedy Triangle’ atau ‘One Grain of Rice’ bagi anak-anak yang gemar membaca. Buku-buku seperti ini dapat memperkenalkan konsep matematik kepada anak-anak dengan pendekatan yang mudah, menarik dan menyeronokkan.
7.Matematik dalam Alam Semula Jadi
Bawa anak-anak bersiar-siar di taman rekreasi untuk meneroka konsep matematik sambil menikmati keindahan alam semulajadi. Mereka boleh mengira bunga, mengenal pasti bentuk-bentuk daun, dan mengukur ketinggian pokok.
8.Membantu Membeli Belah
Anak-anak pasti seronok melakukan kerja-kerja orang dewasa seperti menguruskan wang belanja, dan membeli barang-barang keperluan di kedai. Beri mereka peluang untuk mengira harga barang-barang belian atau membuat keputusan barang apa yang patut dibeli mengikut bajet yang ditetapkan.
9.Olimpik Matematik
Anjurkan satu acara olimpik mini di rumah dengan pelbagai cabaran matematik untuk anak-anak anda. Anda boleh masukkan aktiviti-aktiviti matematik yang menyeronokkan seperti perlawanan kira guli dalam balang, acara papan damak, pertandingan barisan terpanjang dan banyak lagi.
10.Eksperimen Matematik
Lakukan eksperimen mudah yang berkaitan dengan matematik seperti mengukur dan membanding pertumbuhan pokok, mengira statistik coklat M&M yang berbeza warna, membanding ukuran kotak dan isipadu air di dalamnya, serta bermacam-macam lagi.
Sebenarnya, ada banyak lagi aktiviti menarik yang anda boleh lakukan bersama anak-anak untuk mempraktikkan kemahiran matematik mereka. Dua perkara yang anda perlukan cuma kreativiti dan masa berharga anda. Ingat, bila matematik digabungkan dengan keseronokan, anak-anak anda pasti tidak lagi menganggapnya sebagai satu subjek akademik yang membosankan.